Archive

Archive for the ‘Agenda Komuniti Madani’ Category

Antara Kesempitan Perkauman Dengan Keluasan Prinsip Islam

September 3, 2009 pompetos Leave a comment

by : S.S. Dr. Maza

Sejak kebelakangan ini tepikan slogan membela bangsa kedengaran hebat sekali. Soal warisan bangsa, semangat dulu kala dan cerita datuk nenek lama dibangkitkan semula. Keris yang disimpan mungkin ada yang ingin kembali menciumnya, sirih pinang mungkin ada yang ingin kembali mengunyahnya, zapin dan joget mungkin ada yang ingin kembali ditarikannya.

Terpulanglah, namun apa yang perlu diingat, perjuangan bangsa itu jauh lebih sempit dari perjuangan membela prinsip Islam yang bersifat sejagat lagi adil untuk semua. Tidak salah perjuangan ingin menolang bangsa sendiri. Namun adalah salah jika ia bertukar menjadi semangat perkauman yang boleh membawa kepada dizalimi pihak yang lain.

Nabi s.a.w sendiri memuji sikap tolong menolong sesama kaum. Baginda s.a.w pernah bersabda: “Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Namun baginda juga memberikan amaran kepada sikap ‘asabiyyah iaitu perkauman atau berpuak yang membawa kepada kezaliman. Baginda bersabda: “Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (Riwayat Muslim).

Rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) adalah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil, namun membela atas dasar ketaksuban.

Apakah bezanya antara keluasan prinsip Islam dengan kesempitan perkauman? Jawapannya secara umum; seseorang yang dilahirkan berbangsa melayu, tidak mampu menukar dirinya menjadi arab. Seorang yang dilahirkan berbangsa cina tidak mungkin dapat menjadi melayu. Seseorang yang dilahirkan berbangsa india tidak mungkin mampu menukar dirinya menjadi cina.

Walaupun mungkin dia boleh menyamar, atau membuat tafsiran yang berbagai dalam menukar identiti dirinya, namun hakikat diri dari segi nasab keturunan tidak mungkin dapat diubah. Hal ini berbeza dengan soal pegangan akidah Islam. Di mana, seseorang walaupun apa bangsanya, boleh menjadi muslim lagi mukmin. Bahkan dia boleh mejadi muslim yang terbaik, walaupun dia daripada bangsa paling hina pada pandangan masyarakat, tetapi Islam tidak mendiskriminasikannya.

Maka, Bilal bin Rabah r.a. seorang yang berkulit hitam, berasal dari status hamba abdi yang dihina telah menduduki tempat yang tinggi dalam Islam. Sehingga setiap muslim apabila menyebut sahaja azan untuk solat akan teringat sejarah Bilal yang bertugas sebagai muazzin (tukan azan) Nabi s.a.w. Sehingga orang melayu memanggil ‘tok bilal’ kepada tukang azan.

Sabda Nabi s.a.w: “Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuailah! Tiada kelebihan orang arab ke atas a’jam (yang bukan arab), atau a’jam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Maka perjuangan yang hanya terhad untuk membela sesuatu bangsa cuma, amatlah sempit dan terbatas. Ia perjuangan yang tidak dapat dikongsi kebaikannya oleh kaum yang lain sekalipun keadaan mereka sama.

Umpamanya, perjuangan untuk membela fakir miskin bangsa tertentu tidak dikongsi kebaikannya oleh bangsa yang lain, sekalipun kemiskinan mereka itu sama. Bahkan kadang-kala ia boleh bertukar menjadi perkauman yang amat sempit dan mengorbankan berbagai pihak atas sentimen kepuakan.

Namun jika kemiskinan cuba dilangsaikan atas nama prinsip Islam, sesiapa saja yang miskin ada hak yang boleh diperolehi sedekah Islam –temasuk dari zakat wajib dan wang baitul mal- walau siapapun keturunannya, bahkan walaupun berbeza agama, selagi dia seorang miskin.

Di sudut ikatan nasab pula, seorang cina atau melayu atau india tidak boleh menjadi arab, tetapi mereka boleh menjadi Islam. Apatah lagi, prinsip-prinsip Islam itu mementingkan keadilan tanpa pernah mengenal batasan warna kulit, rupa dan kedudukan.

Firman Allah (maksudnya): Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah al-Hujurat: 13).

Maka, orang melayu jika mereka hendak mulia, bukanlah dengan inang dan zapin, atau mak yong dan joket, tidak juga institusi raja atau adat, tetapi menegakkan prinsip-prinsip Islam yang tulen.

Bukan bererti saya menyeru agar dihapuskan identiti kaum, adat dan budaya mereka. Tidak! Sama sekali tidak! Jika adat dan budaya tidak bertentangan dengan Islam boleh diteruskan. Namun, kemuliaan insan yang hakiki tidak dapat dicapai hanya di atas semangat puak atau bangsa, sebaliknya dengan menjunjung prinsip-prinsip Islam.

Persis seperti apa yang Allah ingatkan suku Aus dan Kharaj di Madinah. Firman Allah: (maksudnya) “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulunya bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara jantung hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara (persaudaraan Islam). Dan kamu dahulunya berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu darinya (disebabkan nikmat Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. (Surah Ali ‘Imran ayat 103).

Kata al-Imam Qatadah al-Sadusi (meninggal 118H) lebih seribu tiga ratus yang lalu kepada orang arab: “Dahulunya bangsa arab ini manusia yang paling hina, paling buruk kehidupannya, paling sesat, paling kurang pakaian dan paling lapar. Dicengkam antara dua singa; Parsi dan Rum.

Demi Allah! Tiada di tanahair arab apa yang memboleh orang lain iri hati kepada mereka. Sesiapa yang hidup di kalangan mereka, hidup dalam keburukan dan yang mati pula, binasa dan dibuang ke dalam api. Mereka dimakan, mereka tidak memakan.

Demi Allah! Kita tidak tahu adanya bangsa di bumi ini pada masa itu yang paling rendah dan lekeh daripada mereka. Sehinggalah Allah membawa Islam kepada kamu (wahai orang arab!). Allah bekalkan kepada kamu al-Quran, Dia membuka kepada kamu bumi jihad, Dia meluaskan untuk kamu rezeki, Dia jadikan kamu memerintah manusia.

Dengan Islamlah Allah berikan kepada kamu apa yang sedang kamu lihat. Bersyukurlah terhadap nikmat-nikmatNya kerana tuhan kamu pemberi nikmat yang sukakan mereka yang bersyukur. Mereka yang bersyukur pula sentiasa mendapat tambahan”. ( Al-Tabari, Tafsir al-Tabari –tahziban- 2/349, Damsyik: Dar al-Qalam).

Sebelum itu, saya selalu ulangi apa yang ‘Umar bin al-Khattab ucap ketika membuka Baitul Muqdis, setelah umat Islam berjaya membebaskan kota suci itu: “Kita dahulunya adalah kaum yang hina, Allah telah memuliakan kita dengan Islam, andainya kita mencari kemuliaan selain dari apa yang telah Allah muliakan kita dengannya maka kita akan dihina oleh Allah”. Riwayat ini sanadnya dikatakan sahih oleh al-Hakim dan disokong oleh al-Zahabi (Al-Hakim, al-Mustadrak, 1/237, Beirut: Dar al-Ma’rifah).

Maaf jika saya sebutkan, apalah sangat yang hendak dibanggakan dengan bangsa melayu jika dilihat pada realiti hari ini secara perbandingan? Kita bukan yang paling berjaya dalam ekonomi, tidak juga dalam pelajaran akademik. Bahkan politik melayu pun dalam banyak keadaan telah mengorban bangsa sendiri.

Orang lain berpolitik secara seni yang akhir mengaut untung untuk dibahagi sesama mereka. Sementara kita bertarung bermati-matian sesama sendiri sekalipun sehingga tergadai negeri dan kota. Kedengkian sesama sendiri, melebihi cemburu kita kepada ‘orang lain’.

Ada pula yang diberi amanah, negara dijadikan modal untuk kocek sendiri, anak menantu dan juga segala macam kroni. Sementara yang hendak membaiki, ada pula yang sanggup menanggalkan prinsip perjuangan kerana melihat ‘kerusi idaman’.

Begitulah kita seadanya. Silap hari bulan, ‘yang dikejar tidak dapat, yang dikendung berciciran’. Mungkin kita mempunyai kejayaan menjadi bangsa yang memliki ‘penagih dadah yang teramai’, ‘pengidap HIV AIDS yang terbanyak, berjaya memenuhi semua jawatan mat rempit dan mat lepak dan segala macam kedudukan yang bangsa lain dalam negara ini kosongkan agar dapat kita penuhi tanpa persaingan. Itulah realitinya, suka atau tidak!

Kalau muncul sesiapa yang kononnya pejuang bangsa, kita pun tidak pasti, adakah dia ikhlas, atau untuk merebut kerusi pilhanraya? Sebabnya, yang bercakap tentang kepentingan bangsa itulah juga yang melonggokkan keseronokan kepada anak muda melayu sehingga mereka hanyut dan menjadi pemuja orang politik yang telah memberi kebebasan yang ‘seronok giler’ kepada mereka.

Mereka juga kadang-kala yang menindas sesama bangsa kerana kepentingan kocek sendiri, kemudian apabila datang muncul berkempen mereka berlagak menjadi pejuang bangsa, bahkan agama. Siapa yang menjadi “ali baba?”, ”siapa yang menjual tanah melayu?” siapa yang mendiskriminasi sesama melayu? Sebahagiannya, mereka inilah.

Sementara melayu yang menggunakan nama Islam pula, ada yang hanya menjadikannya modal kempen. Hari ini prinsip-prinsipnya pun sudah mula luntur. Dulu ada yang bukan main ekstrim sehingga saya pun diserang dan dituduh longgar. Hari ini ada di kalangan penceramah yang sedemikian yang kelihatan bukan sahaja longgar, tapi mungkin boleh terlondeh. Ada juga di kalangan semua itu yang benar-benar jujur, saya tidak nafikan.

Saya katakan; masa depan orang melayu tidak akan dapat dijamin oleh semua slogan dan kempen-kempen bermusim ini. Penyelesaian yang sebenar adalah semua pihak di kalangan umat Islam tanpa mengira bangsa di negara ini hendaklah kembali kepada prinsip-prinsip Islam dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Penafsiran terhadap Islam ini hendaklah bebas dari kepentingan kerusi, parti, bangsa, puak, mazhab, aliran dan segalanya. Hanya Islam yang tulen, seperti mana hari ia diturunkan oleh Allah. Itulah penyelamat arab zaman dahulu, dan itulah penyelamat melayu!

Bukan Islam ala melayu yang mewajibkan Marwan bin Ah Seng mengubah nama bapa kerana bapanya cina dan Ah Seng bukan nama arab. Tetapi dapat pula menerima Marwan bin Awang, kerana Awang bangsa melayu sekalipun Awang bukan nama arab.

Bukan yang sibuk dengan orang lain hendak menggunakan nama Allah –pada hal Allah mengizinkan-, tetapi tidak pula sibuk membaiki penerangan akidah.

Bukan yang hanya meletakkan nama Islam untuk politik, tetapi gagal mengislamkan lidah ketika berkempen politik.

Bukan hanya yang menggunakan nama Islam untuk mengutip zakat, tetapi melupai amanah Islam dalam membahagikan zakat.

Begitulah seterusnya. Islam tulen, seperti zaman salaf dalam akidah dan ibadah, dan melihat keluasan agama dalam urusan umum kehidupan. Islam yang akan menjadikan kita umat dakwah dan pembawa risalah keagungan agama, bukan yang hanya memikir pembinaan bangunan tetapi membiarkan keruntuhan akidah dan akhlak.

Seperti kata al-Nadwi yang selalu saya ulangi: “Hendaklah orang Arab ketahui bahawa mereka tidak memasuki (pentas) sejarah kecuali dengan jalan risalah Islam dan dakwah islamiyyah. Allah tidak menumbuhkan kecintaan (orang lain) kepada mereka dalam jiwa dan hati, tidak tersebar bahasa mereka dengan sebegini luas, ia tidak kekal dan abadi, tidak ditulis dengannya ilmu yang banyak, tidak terbentuk dengannya perpustakaan yang begitu besar yang mana ulama bukan Arab mendapat habuannya lebih dari orang Arab sendiri, kecuali dengan sebab kelebihan al-Quran dan syariat Islam. Orang Arab tidak akan kembali kepada kedudukan mereka yang awal dan tidak akan memasuki (pentas) sejarah sekali lagi melainkan melalui pintu yang mereka masuk pada awalnya”. (Al-Nadwi, Kaif Dakhal al-‘Arab al-Tarikh, m.s 26, cetakan: Al-Majma’ al-Islami al-‘Ilmi, Lacknow, India).

Seperti orang arab pada hari ini menjadi lemah dan hina kerana meninggalkan Islam tulen, demikian nasib kita akhirnya jika tidak kembali kepada sumber agung Islam; al-Quran dan al-Sunnah.

Isu 13 Mei : Menuju Kematangan Bangsa Malaysia

May 10, 2008 pompetos Leave a comment

Hidup dalam kelompok masyarakat yang berbilang bangsa dan agama merupakan suatu cabaran dalaman yang terbesar dan perlu dihadapi dengan sikap yang matang dan profesional. Kini, sudah lebih dari 50 tahun rakyat Malaysia menikmati hidup dengan aman dan makmur walaupun ada ketika rakyat berbilang bangsa ini pernah bercakaran dalam menuntut keadilan bangsa masing-masing.

Alasan yang paling umum yang mampu diberikan adalah, masyarakat pada zaman awal kemerdekaan rata-rata kurang berpendidikan atas faktor sosial dan juga ekonomi menyebabkan masing-masing mengambil tindakan yang boleh dianggap kurang bijak pada masa kini. Peristiwa hitam yang berlaku ini banyak mematangkan rakyat dan menjadikan rakyat semakin bijak apabila berhadapan dengan situasi seumpama ini. Rakyat kini lebih selesa untuk memilih meja rundingan sebagai medan penyelesaian dan menganggap keganasan bukan jalan penyelesaian terbaik.

Dalam berhadapan dengan situasi baru dunia politik di Malaysia ini, terdengar suara-suara yang kembali mengingatkan kita kepada peristiwa 13 mei apabila kerapkali isu berbentuk sentimen perkauman dilauangkan dimedia arus perdana. Hal ini merupakan sesuatu yang tidak sihat dan mencerminkan sifat politik “budak-budak” yang mana tidak mengambarkan sikap matang kita sebagai sebuah masyarakat yang menuju kepada pembentukan Negara maju. Isu ketuanan melayu begitu kerap dimainkan oleh sesetengah pihak yang mana telah menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pemimpin bukan Melayu sehingga Datuk Ong Tee Keat menimbulkan persoalan adakah ayat ketuanan ini mengambarkan bangsa Melayu sebagai tuan dan bangsa bukan Melayu lain sebagai hamba? (The Star, 9 Mei 2008)Ada juga pihak yang cuba menghidupkan api kemarahan bangsa melayu dengan bermain isu Melayu sudah kehilangan kuasa. Isu ini merupakan antara isu yang kerapkali dimainkan dimedia arus perdana sehingga boleh dikatakan hampir setiap hari ada sahaja isu berbentuk sentimen perkauman didada-dada akhbar. Apakah motif utama pihak yang seringkali memainkan isu ini? Apakah ada kebenaran dari sudut fakta terhadap segala isu yang dimainkan ini?

Sikap negatif yang mungkin amat sukar untuk dikikis pada setiap pecahan bangsa di Malaysia adalah sikap bersangka buruk terhadap bangsa lain. Bangsa melayu melihat bangsa lain di Malaysia sebagai ancaman terutama dari sudut ekonomi, manakala bangsa Cina melihat bangsa Melayu sebagai penindas kerana memiliki segala kelebihan. Sikap negatif ini sudah ditanam sejak kecil oleh keluarga dan juga masyarakat setempat. Hal ini tidak hanya terjadi pada masyarakat umum, tetapi juga pada golongan cerdik pandai walau bukan pada keseluruhannya. Dalam sesetengah situasi, ada benarnya telahan buruk ini. Namun secara realitinya, ia tidak mengambarkan keseluruhan sistem masyarakat berbilang bangsa di Malaysia. Saya merasakan, masalah yang berlaku ini bukan kerana kegagalan sistem masyarakat secara keseluruhan, tetapi kegagalan sistem penyampaian dan pelaksana bagi setiap hak bangsa-bangsa tertentu sehingga menimbulkan rasa tidak adil dan buruk sangka terhadap bangsa lain.

Pembentukan tamadun sebagai mana yang sering diperkatakan oleh pihak pemerintah amat berkait rapat dengan pembentukan masyarakat yang matang. Sarjana Islam, Sayyid Qutb menyatakan tamadun sebagai segala bentuk kemajuan politik yang dihasilkan oleh satu masyarakat seperti sistem sosial, pemerintahan, politik, ekonomi dan kebudayaan yang berteraskan syariat Allah SWT. Pembentukan tamadun amat menitik beratkan kematangan masyarakat agar mampu mendokong segala ciri-ciri seperti mana yang telah dinyatakan. Peristiwa 13 Mei telah mengajar bangsa Malaysia tentang kematangan dari sudut berfikir tentang keganasan bukan jalan penyelesaian, namun kematangan itu belum cukup sempurna jika masih ada sikap negatif seperti memperbesarkan isu-isu berbentuk provokatif, mengamalkan politik “budak-budak” dan bersangka buruk terhadap bangsa lain. Setiap bangsa seharusnya memainkan peranan dalam pembentukan sebuah bangsa Malaysia yang matang dan kematangan itu semestinya dicorak dengan nilai-nilai islam yang sememangnya sesuai dilaksanakan tanpa mengira bangsa dan juga agama.

Pengarah JAIP – MB – Sultan Perak

Setiap sesuatu di dunia ini ada undang-undang dan peraturannya. Undang-undang dan peraturan diwujudkan dengan tujuan untuk memastikan tidak berlakunya perkara-perkara yang diluar batasan dan menjamin kesejahteraan dan kefungsian hidup.

Jika kita amati, dunia ini beredar mengikut peraturan sunatullah. Manusia bergerak, bekerja, bermuamalat, munakahat semuanya di atas landasan peraturan dan undang-undang. Waima benda tidak bernyawa seperti komputer, kereta dan mesin basuh sekalipun, ada ‘set of rules’ dan undang-undang untuk memastikannya dapat beroperasi dengan baik. Begitu jugalah dengan hal yang lebih penting dan besar seperti aspek pemerintahan dan kepimpinan negeri dan negara.

Sebagai rakyat negeri Perak, penulis suka untuk mengulas sedikit mengenai isu yang di ‘jomheboh’ kan oleh media perdana negara berkaitan dengan pertukaran pengarah JAIP oleh MB Perak tempoh hari. Secara peribadi penulis merasakan kita perlulah merasakan husnul zan di dalam diri apabila membincangkan isu seperti ini dan menganggap perkara ini mempunyai pengajaran dan hikmah kepada setiap pihak yang terlibat.

Peranan Media Utama Negara

Hampir semua media utama (mainstream) meletakkan isu ini di headline selama 2-3 hari berturut-turut. Seolah-olah pergolakkan pemerintahan sedang berlaku di negeri Perak. TV3 misalnya menggunakan isu berkenaan hampir 10 minit di permulaan Buletin Utamanya malam 2 Mei 2008 dan stesyen tv yang sama hanya menyiarkan tak sampai 2 minit sewaktu titah ucapan Raja Muda Perak semasa keputeraan Sultan Perak beberapa minggu lalu, malah liputan itu hanya terselit di tengah timbunan isu-isu lain dan berita mengenai pengurniaan Datuk Seri kepada Menteri Besar Perak itu langsung tidak mendapat liputan. Nampaknya media utama negara kita ini kembali ke tahap asalnya iaitu ‘menyerang dan menyerang’ golongan selain dari BN.

Dato Jamry

Sebagai rakyat negeri Perak dan penjawat awam yang berkhidmat untuk rakyat, Dato Jamry hendaklah berlapang dada dan akur dengan setiap keputusan yang telah ditetapkan oleh kepimpinan negeri dan Kebawah Duli Sultan Perak. Sebarang kepentingan politik hendaklah di kesampingkan demi menjaga amanah rakyat dalam hal-ehwal agama Islam. Jawatan bukanlah sesuatu yang kekal menjadi hak milik peribadi atau hak golongan tertentu. Ianya satu amanah dan boleh bertukar milik. Kembalilah kepada kayu ukur Islam dalam berjawatan. Sebarang permasalahan hendaklah diselesaikan di meja perbincangan dan bukannya dijadikan isu di media untuk publisiti yang merugikan dan memalukan Melayu dan Islam.

Ingatlah hadith Nabi SAW, “Sesiapa yang diangkat oleh Allah Azzawajalla menjadi pemimpin dalam urusan orang-orang Islam, kemudian tidak disempurnakan keperluan-keperluan rakyat, maka Allah tidak akan menyempurnakan keperluannya, dan Allah akan menggantikannya dengan pemimpin yang lain” (Riwayat Abu Daud dan Al-Tarmizi).

Kebawah Duli Sultan Perak

Sebagai rakyat marhain, kita mengucapkan terima kasih di atas teguran dan keperihatinan Kebawah Duli Sultan Perak dan Raja Muda Perak di atas isu bersangkutan kepimpinan dan kemaslahatan Melayu-Islam. Teguran seperti ini amat perlu untuk memastikan pimpinan negeri yang telah diamanahkan oleh rakyat untuk mentadbir tidak terpesong dari etika dan landasan kebenaran perjuangan berpolitik. Kita amat mengharapkan agar suara dari istana akan lebih kerap kedengaran untuk mendepani usaha membela dan menjaga kesyumulan Islam di negeri Perak yang tercinta ini.

MB dan Kepimpinan Baru Negeri Perak

Kepada Menteri Besar Dato Seri Nizar, ini merupakan pengajaran yang amat bermakna sebagai pentadbir negeri supaya lebih berhati-hati dalam setiap tindakan yang ingin dilaksanakan, terutamanya hal-hal yang bersangkutan dengan keterlibatan pihak istana. Setiap sudut kesan yang terhasil dari tindakan ini perlulah dikaji. Ini untuk memastikan tindakan itu adalah adil dan saksama untuk semua rakyat sekaligus hubungan dengan istana terjalin dengan baik.

Fokus kerajaan perlulah lebih kepada membangunkan negeri daripada terlibat dengan isu-isu sensitif yang membuang masa, tenaga dan sokongan rakyat kepada kerajaan PR. Rakyat amat memahami bahawa terdapat banyak lompong dan ‘kecelaruan’ dalam urusan kerajaan terdahulu yang perlu diperbaiki oleh pimpinan sekarang. Namun ianya tidak seharusnya menjadi sebab untuk tidak melaksanakan dan membantutkan rencana pembangunan dan peningkatan taraf hidup rakyat di negeri Perak ini.

Minda kerajaan negeri juga perlu lebih besar, dengan wawasan dan gagasan yang besar tentang bagaimana untuk memajukan negeri Perak. Rakyat sehingga kini ternanti-nanti apakah perancangan kerajaan negeri untuk memastikan masa depan yang gemilang untuk rakyat Perak. Hala tuju dan konsep yang bagaimana mahu di acuankan kepada rakyat. Ini yang rakyat perak mahu dengar dan hadam dengan sebaik-baiknya. Ini yang orang luar mahu dengar jika mahu datang ke Perak. Ini yang pelabur asing mahu dengar tatkala sedang berkira-kira mahu melabur di Perak.

Akhirnya adalah menjadi harapan rakyat terbanyak untuk melihat kerajaan baru akan membawa negeri Perak ke arah yang baru, serba moden dan tadbir urus yang baik. Setiap perkara mempunyai peraturan dan dari peraturan akan membawa nilai. Kurangkanlah berpolitik kepartian melampau. Jalankanlah amanah dengan sebaik-baiknya wahai pimpinan negeri Perak Darul Ridzuan.

Soal Akhlak Perlu Diberi Penekanan Dalam Pendidikan

April 27, 2008 pompetos Leave a comment

KUALA LIPIS, 27 April (Hrkh) – Ahli Dewan Negara, Senator Muntaz Md Nawi mahu penekanan terhadap pendidikan kepada generasi muda diberi keutamaan bagi melahirkan pejuang Islam, muslimin dan muslimat yang mempunyai kekuatan akhlak sejajar dengan ajaran Islam.

Katanya, kecemerlangan di dalam pendidikan tanpa akhlak hanya akan memburukkan keadaan seperti yang berlaku kepada remaja pintar yang dibantu kerajaan Malaysia bernama Sufiah Yusof yang kini memilih jalan hidup sebagai pekerja seks di Britain.

Menurutnya, kejayaan di dalam pendidikan formal belum tentu akan melahirkan generasi yang berjaya dalam hidup.

Ini kerana terdapat kajian yang menunjukkan 20 peratus individu yang menempa kejayaan luar biasa di dalam hidup bukan terdiri daripada mereka yang cemerlang di dalam pendidikan formal, katanya.

Katanya lagi, terdapat juga kajian menunjukkan individu yang berjaya adalah individu yang mempunyai akhlak mulia.

Katanya, 80 peratus daripada kejayaan bergantung kepada akhlak. Justeru di antara perkara utama yang dibawa oleh Rasullulah s.a.w ialah menyempurnakan akhlak yang mulia.

“Di tangan kita, para ibu bapa, terutama muslimat terletaknya tanggung jawab untuk melahir dan mendidik generasi muda yang berakhlak mulia dan beriman,” ujarnya.

Tuntutan Membina Keupayaan Strategik

April 21, 2008 pompetos Leave a comment


Oleh : Dr. Sidek Baba

GLOBALISASI bukan sesuatu yang ‘neutral’ sifatnya. Di sebalik ketangkasan sistem ekonomi liberal sebagai indikator terpenting, kemajuan teknologi tinggi menjadi penyumbang terhadap kukuhnya tabiat kebergantungan kita kepada pihak lain. Kita belum mampu menampilkan diri sebagai penyumbang berkesan tamadun umat manusia tetapi sebaliknya kita adalah pengguna setia terhadap pencapaian dan kemajuan orang lain. Kedudukan seperti ini memungkinkan agenda globalisasi direncana dan ditentukan oleh faktor di luar diri kita sendiri.

Keghairahan umat Islam kini terhadap teknologi maklumat dan memanfaatkan rangkaiannya adalah sesuatu yang positif. Tetapi maklumat itu sendiri bukanlah sesuatu yang sifatnya berkecuali. Di samping aspek komparatif yang menguntungkan, ada ‘input’ dan ’software’ yang bercanggah dengan sistem nilai kita.

Maklumat yang sifatnya bebas-nilai memerlukan interprestasi baru supaya yang dimamah dan dikunyah sesuai dengan citarasa kita. Era komputer yang sedang merentasi setiap cabang penghidupan adalah fenomena langsung yang mencabar struktur dan gaya kehidupan manusia. Kesannya amat besar dalam proses pembentukan budaya baru yang jauh lebih pantas dan tangkas.

Umat Islam bukan tidak punya sejarah ketamadunan. Keunggulan tamadun masa lalu bukan saja sifatnya menyumbang tetapi mampu bertahan dalam tempoh yang amat lama dan merangkumi setiap aspek kehidupan. Hal ini dibangkitkan supaya kita menginsafi bahawa Islam adalah agama kemajuan, pembangunan dan perubahan bukan agama yang bersifat pinggiran dan membatasi diri dalam lingkungan ritual semata. Budaya Islam sifatnya amat komprehensif dan bukan saja tegak atas tunjangan spiritual tetapi didukung oleh ketangkasan intelektual yang mampu menterjemahkan zaman dan lingkungan.

Malangnya, kedudukan umat kini banyak bergantung kepada kemajuan orang lain dan amat sedikit menyumbang untuk kemajuan umat manusia. Hal ini bukan saja berpunca daripada kebekuan intelektual tetapi juga ketidakupayaan membina budaya Islam yang dinamik dan mampu menangani faktor ruang dan masa (time and space). Kita masih lagi berlegar di sekitar mengungkapkan nostalgia silam mengenai kekuatan dan ketamadunan umat tetapi kelihatan tidak berkaitan dengan perubahan kini. Kita juga masih tekun membicarakan batas-batas konsepsi dan filosofis mengenai Islam dan bersifat reaktif terhadap isu-isu yang berbangkit dan kurang upaya memberikan pendekatan metodologikal dan operasional terhadap tuntutan budaya Islam itu sendiri. Keadaan begini memudahkan Barat dan Timur melakukan globalisasi terhadap kita.

Pembinaan budaya Islam yang mencarakan penghidupan Islam yang sifatnya merangkumi bukan saja menuntut kemantapan aqidah dan peribadi mithali tetapi juga merujuk kepada perkembangan intelektual yang bukan saja mampu melepasi batas-batas retorika tetapi juga memiliki upaya operasional sebagai penunjuk dan penyelesai masalah. Hal ini dibangkitkan disebabkan banyak masa kita terbazir dan potensi kita terbuang akibat kealpaan kita mengenal pasti kekuatan dan kelemahan kita di samping tidak memiliki keupayaan strategik bagi menangani masalah dan cabaran.

Tidak salah kita memiliki idealisme atau gagasan besar untuk membangun budaya umat. Malah amat dituntut persiapan yang lebih rapi dibuat supaya antara matlamat yang dihajatkan dan keupayaan yang dimiliki harus wujud keseimbangan supaya wawasan yang ingin dibangunkan mampu menjadi realiti. Lazimnya cita-cita kita amat besar tetapi kemampuan kita terbatas menjadikan kita terus terpinggir kerana faktor yang mengukuhkan proses globalisasi terus menghimpit kita untuk melakukan penyesuaian dan perubahan. Amat malang lagi penyesuaian dan perubahan masih berjalan dalam kerangka lama yang kadang-kadang bercanggah dengan budaya Islam itu sendiri.

Hal ini menuntut adanya keupayaan strategik dibina supaya kita tahu mengukur kekuatan dan potensi kita di samping mengenal pasti matlamat dan proses yang bakal berlangsung. Ada ketikanya wawasan kita jelas, matlamat kita ada tetapi dalam proses membangunkan umat tidak semua faktor penting memihak kepada kita. Hal ini menuntut adanya pilihan terhadap keutamaan. Rasulullah SAW contohnya membangunkan manusia di peringkat awal Makkah dengan membangunkan aqidahnya. Hal ini dilihat terlalu penting kerana kemantapan aqidah bukan saja mampu memberi jawapan dan arah yang jelas mengenai makna diri, hidup dan kehidupan tetapi secara jangka panjang ia terbukti mampu membina sumber manusia yang terbangun dirinya dan terbangun persekitarannya.

Peristiwa Hijratul Rasul umpamanya memperlihatkan dengan jelas adanya keupayaan strategik yang mengambil pendekatan menegak dan merentas (hablum minallah, wahablum minannas). Rasulullah SAW bukan saja melakukan upaya akal untuk merancang penghijrahan tetapi juga hubungan rohaniah dengan Allah SWT. Persiapan yang rapi, strategi yang tersusun memunkinkan hijrah berlaku dalam barakah dan rahmah Allah. Hal ini kalau dihubungkaitkan dengan situasi umat kini amat memerlukan pendekatan sepadu dalam memikir, merancang dan melaksanakan strategi menghadapi cabaran globalisasi.

Antara kekuatan strategik yang harus dibangunkan bagi menentukan budaya Islam memiliki segala-galanya mendepani arus globalisasi ialah pembangunan sumber daya manusianya. Penumpuan ini mestilah berasaskan pembangunan ilmu dan pendidikan yang bukan saja mampu dicernakan secara komprehensif dan sepadu, menggabungkan kekuatan naqliah dan aqliah secara harmonis tetapi memiliki keupayaan melakukan proses transformasi terhadap manusia. Matlamat pembinaan adab dan proses taadib harus menjadi teras pengilmuan dan pendidikan supaya kualiti manusia yang dilahirkan tidak saja memiliki keupayaan intelektual, teknikal dan profesional tetapi dalam masa yang sama memiliki sahsiah mithali yang mampu menampilkan idea pendorong di samping keupayaan memberi arah baru terhadap perubahan pembangunan yang serasi dengan budaya Islam.

Hal ini tidak pula bermakna kita mengambil sikap menolak unsur-unsur atau aspek-aspek berbanding yang positif dan menyumbang. Tetapi umat Islam perlu memiliki daya saring yang tinggi bagi memungkinkan proses penerimaan dan penolakan berada dalam tahap yang membangun dan membina. Strategi pengislaman ilmu umpamanya sewajarnya menjadi agenda penting umat dan setiap institusi pengajian tinggi supaya berlangsungnya proses ini tidak saja menawarkan jawapan terhadap tuntutan ilmu yang sepadu tetapi dalam masa yang sama kita melahirkan sumber daya manusia yang memiliki tasawur yang jelas dan terarah dan mampu membina budaya Islam mithali.

Budaya Islam mithali itu harus mampu menjadi model terbaik bukan saja kepada umat Islam tetapi juga umat manusia. Globalisasi yang sedang mendepani umat harus diimbangi dengan formula dan strategi yang sifatnya ummatik. Hal ini hanya menjadi relevan sekiranya upaya metodologikal dan operasional mampu kita hasilkan terutama dalam era ledakan maklumat dan kecanggihan teknologi. Strategi ummatik harus memungkinkan kita mengenal pasti sumber-sumber kita yang terbaik kemudian dedahkan mereka dengan latihan dan pendidikan yang mantap di samping upaya strategik bagi mendekati situasi dan realiti yang pelbagai. Upaya ini sekiranya dapat dikembangkan dalam sistem pendidikan dan tarbiyyah kita, memungkinkan tertampilnya tenaga-tenaga generasi penerus yang memahami maksud maslahah dan hikmah atas nama kebijaksanaan. Kebijaksanaanlah akhirnya yang akan menjadi barometer yang bakal menentukan halatuju pembangunan budaya yang tidak saja responsif terhadap perkembangan sekitar tetapi dalam masa yang sama menawarkan pilihan bagi merentasi daerah cabaran yang tetap banyak.

Justru budaya Islam dalam perspektif ummatik harus mampu membimbing kita melepasi batas-batas etnik dan wilayah yang sempit tetapi harus memiliki keupayaan merentasi benua bertunjangkan kekuatan ilmu, ketrampilan di samping keteguhan peribadi. Bagi mencapai tahap sedemikian pastinya menuntut daya juang yang tinggi di samping kemampuan berfikir yang dinamik sifatnya supaya antara cabaran yang terus datang, umat Islam terus mampu membina tamadun pilihan yang bakal menjadi ikutan.

Masyarakat Madani : Apakah Ia?

April 9, 2008 pompetos Leave a comment

Masyarakat madani ialah masyarakat Islam yang maju atau bertamadun. Ia maju kerana anggota-anggota di dalam diri umat Islam itu dapat dibangunkan atau dimajukan berpaksikan iman atau akidah atau tauhid.

  • Akalnya dapat dibangunkan dengan bermacam-macam ilmu yang memberi manfaat sama ada ilmu Akhirat mahupun ilmu dunia yang bermacam-macam cabangnya. Dipenuhi pula dengan pengalaman-pengalaman.
  • Jiwanya dapat dibangunkan rasa tauhid atau rasa bertuhan, sifat ikhlas, kasih sayang, pemurah, berani, sabar, tawakal, lapang dada, bertolak ansur, redha, qanaah dan zuhud.
  • Nafsunya dapat dibangunkan (dibersihkan daripada nafsu ammarah kepada lawwamah seterusnya mulhamah, mutmainnah, radhiah, mardhiah dan kamilah). Paling tidak, dapat dibangunkan kepada nafsu mulhamah. Di sini sudah sampai kawasan selamat. Lebih daripada itu ia merupakan subsidi dari Allah iaitu darjat-darjat dan pangkat-pangkat yang lebih tinggi lagi di kalangan orang mukmin.

Membangunkan jiwa dan nafsu ini, ia bersifat rohaniah. Kemudian anggota lahirnya (jawarih) dapat membangunkan kemajuan fizikal berpandukan ilmu dan bertunjangkan iman. Di antaranya ialah membangunkan keperluan-keperluan kehidupan dunia yang bersifat material seperti makan minum yang sebaik mungkin, tempat tinggal dan tempat kerja yang secanggih mungkin. Juga dapat membangunkan kemudahan-kemudahan hidup seperti jalan raya yang baik, kenderaan yang canggih mengikut zamannya, alat-alat senjata yang canggih dan seimbang atau lebih untuk keperluan semasa demi mempertahankan maruah agama, bangsa dan tanah air daripada serangan-serangan musuh.

Kalau begitu, masyarakat madani adalah satu masyarakat yang wujud begitu unik, indah, menyenangkan dan selesa kerana di dalamnya penuh dengan sifat-sifat dan ciri-ciri ukhwah, kasih sayang, timbang rasa, rasa bersama, bekerjasama, menyenangkan, bersatu padu, bertolak ansur, maaf-bermaafan, doa-mendoakan, bertolong bantu, pemurah dan berani. Di sudut kerohaniannya, berdisiplin dan bersih daripada dosa serta noda. Kalau berlaku pun terlalu sedikit atau ada tetapi tidak dapat dilihat kerana ia telah tenggelam dengan pahala atau kebaikan yang tercetus dari masyarakat Islam.

Anggota masyarakatnya benar-benar hidup di dalam suasana aman makmur, maju, membangun, berkemudahan di dalam serba-serbi, makan minum cukup atau boleh jadi mewah, pakaian serba ada, tempat tinggal selesa, perhubungan mudah, perniagaan, industri, pertanian dan pendidikan maju.

Semua orang ada kerja. Tidak ada orang yang menganggur. Mudah beragama, senang mencari rezeki, mudah belajar, tempat- tempat rawatan penyakit banyak dan menyenangkan. Maruah agama, bangsa dan negara terjaga. Semua aspek hak-hak asasi manusia terjamin. Ia dijaga dan dipertahankan. Siapa yang mencerobohnya diadili dan dihukum setimpal dengan kesalahannya.

Manusia rasa bebas membuat aktiviti. Namun di dalam kebebasan itu tidak pula melanggar peraturan dan tidak merosakkan hak asasi manusia. Manusia aktif tetapi berdisiplin. Rajin tidak pula sampai melanggar etika masyarakat. Di dalam maju, suasana tenang. Di dalam kesibukan, tidak ada pelanggaran undang-undang. Bertemu, bergaul, berbincang, bermesyuarat, bercakap tetapi dengan penuh bersopan serta rendah diri. Tidak ada orang yang berlagak dan menunjuk-nunjuk. Di dalam suasana hormat-menghormati, jaga-menjaga, ingat-mengingati, tegur-menegur, sayang-menyayangi. Berlumba-lumba membuat kemajuan dan kebaikan tetapi tidak ada hasad dengki. Ia bersifat selamat dan menyelamatkan.

Sebenarnya kaedah dan cara untuk membangunkan masyarakat madani sudah pun dijelaskan oleh ajaran Islam, melalui Al Quran dan Sunnah. Gambaran secara realitinya dan amali yang telah berlaku pula telah dipaparkan oleh buku-buku sejarah. Oleh itu hari ini kita bukan hendak mencari-cari kaedah dan bentuk masyarakat. Kaedah telah ada. Al Quran dan Sunnah cukup terang tentang itu. Gambaran masyarakat yang wujud sekitar 3 kurun, jelas sekali telah dipaparkan oleh buku-buku sejarah.

Apakah yang patut kita buat? Yang patut kita buat ialah mengusahakan supaya orang-orang Islam mahu memperjuangkannya, menggesa agar umat Islam boleh menerima kaedah itu dan bagaimana agar sampai gambaran masyarakat Islam (masyarakat madani) itu boleh diterima oleh umat Islam.

Negara Yang ‘Bahagia’

April 7, 2008 pompetos Leave a comment

Oleh : Azrina Binti Sobian | Fellow IKIM |

Pada tahun 2006, seorang penyelidik daripada University of Leicester telah menjalankan satu kajian berkenaan ‘kegembiraan’ (subjective wellbeing) di kalangan 80,000 responden dari seluruh dunia. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa Denmark adalah negara yang paling ‘gembira’ untuk dihuni, diikuti dengan Switzerland dan Austria.

BBC News juga telah menjalankan satu kajian yang hampir sama, dan hasilnya menunjukkan bahawa 81 peratus daripada penduduk di United Kingdom percaya bahawa kerajaan sepatutnya memberi tumpuan untuk membuatkan rakyat lebih gembira berbanding lebih kaya.

Berdasarkan kenyataan ini, apakah yang membuatkan penduduk sesebuah negara berasa gembira tinggal di negara itu? Bagaimanakah pula kegembiraan itu diukur? Ini kerana hakikatnya kegembiraan mempunyai makna yang berbeza dari satu insan ke insan yang lain.

Bagi memahami makna kegembiraan itu, elok juga diterangkan sedikit makna kegembiraan sepertimana yang dirujuk di dalam kajian di atas. Kegembiraan yang dimaksudkan dalam kajian tadi merujuk kepada tahap kepuasan penduduk sesebuah negara terhadap kehidupannya di negara itu. Dalam hal ini, penduduk di negara yang mempunyai sistem kesihatan yang baik, mencatatkan keluaran negara kasar (KNK) yang tinggi dan peluang pendidikan yang luas, yang biasanya menunjukkan tahap kegembiraan yang tinggi.

Walaupun banyak perkara yang boleh dipertikaikan dari kajian ini, terutamanya dalam mentafsirkan makna kegembiraan, namun sedikit sebanyak, hasil kajian ini memberikan kita beberapa pengajaran. Bagi penulis, pengajaran paling utama adalah kajian ini setidak-tidaknya menunjukkan serba sedikit apa yang diinginkan oleh penduduk sesebuah negara agar mereka boleh mendabik dada dan berasa bangga serta gembira tinggal di negara tersebut.

Denmark misalnya, mendapat tempat pertama kerana beberapa sebab. Kemenangan Denmark dipengaruhi oleh unsur kekayaan negara itu, keindahan alam semulajadinya, saiznya yang kecil, sistem pendidikan yang bermutu dan penyediaan perkhidmatan kesihatan yang baik. Sebagai perbandingan, negara Amerika Syarikat mencatat kedudukan di tangga ke-23 kerana dipengaruhi oleh masalah kemiskinan (akibat pengangguran) dan perkhidmatan kesihatan yang kurang bermutu.

Dalam hal ini, penulis ingin memberikan perhatian kepada dua sebab penting yang disebutkan di atas iaitu pendidikan dan perkhidmatan kesihatan. Sebab-sebab kekayaan tidak akan disentuh adalah kerana keyakinan penulis bahawa kekayaan tidak menjamin kebahagiaan walaupun penulis tidak menolak hakikat bahawa kekayaan meningkatkan peluang kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan yang lebih bermutu.

Bersesuaian pula dengan keadaan semasa dalam negara kini, pilihanraya 2008 baru sahaja berakhir. Mungkin, apa yang dicatatkan dalam makalah ringkas ini dapat memberikan bayangan dan peringatan kepada para pemimpin yang menang bahawa inilah yang diinginkan rakyat dan kini, bekerja kuatlah untuk memenuhi keinginan itu.

Rakyat dahagakan satu sistem pendidikan yang mampu menghasilkan orang yang berakal. Orang yang berakal ini pula bukan semestinya memiliki gulungan ijazah yang berjela. Mereka ini, seperti kata Prof. Dr. Syed Hussien Alatas, adalah insan yang menghambakan dirinya untuk memikirkan buah fikiran (idea) dan masalah dalam masyarakat dengan menggunakan kemampuan akliahnya.

Pada ketika ini, berapa ramaikah pelajar sekolah mahupun lepasan universiti yang benar-benar menggunakan akal mereka dalam menjalani hidup seharian? Apatah lagi, adakah akal itu digunakan untuk membantu membangunkan masyarakat? Sayang sekali, anugerah paling berkuasa yang diberikan kepada manusia ini tidak dapat dimanfaatkan setinggi mungkin ke jalan yang baik. Kegagalan memanfaatkan akal ini pasti ada kaitannya dengan corak pendidikan yang diterima.

Perkhidmatan kesihatan yang bermutu memang didambakan semua orang. Bermutu di sini bukan semata-mata merujuk kepada nisbah doktor-pesakit yang sesuai, teknologi canggih yang digunakan atau cantiknya hospital yang ada itu. Pernahkah anda mendengar orang berkata bahawa satu senyuman yang indah kadang kala sudah cukup untuk mengubat segala penyakit. Oleh itu, senyuman yang mesra serta disokong pula dengan layanan yang cekap juga adalah disifatkan sebagai sebahagian daripada perkhidmatan bermutu.

Salah satu rungutan yang kerap didengar berkait dengan perkhidmatan kesihatan negara ini adalah dari segi kos. Kos yang berbeza memberi petunjuk kepada perkhidmatan yang berbeza. Perkhidmatan yang murah (biasanya disediakan kerajaan) memang baik tetapi mutunya (terutama layanan) amat menghampakan. Manakala, perkhidmatan mahal yang disediakan di hospital swasta mahupun di private wings hospital kerajaan tidak semua mampu merasainya. Jadi, selama-lamanyakah mereka yang miskin tidak boleh merasa perkhidmatan kesihatan lima bintang itu?

Selain pendidikan dan perkhidmatan kesihatan, terdapat banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki bagi menjamin kegembiraan rakyat. Masalah alam sekitar, kenaikan harga barang, kemudahan awam untuk semua termasuk OKU, masalah keselamatan dan banyak lagi, adalah antara perkara-perkara yang perlu dimasukkan dalam agenda membahagiakan rakyat.

Berdasarkan penerangan di atas, nyatalah bahawa banyak lagi yang perlu dilakukan untuk menjadikan rakyat Malaysia ‘gembira’. Untuk memulakan langkah pertama, semua wakil mesti memperuntukan sedikit masa untuk memikirkan apa yang sebenarnya dimahukan rakyat. Cuba-cubalah meletakkan diri sendiri dalam keadaan atau hidup rakyat. Mungkin dengan cara itu, semua wakil terpilih dapat merasai kesusahan rakyat di kawasan masing-masing.

Akhir kata, kini adalah masanya untuk wakil-wakil yang telah dipilih dalam pilihanraya yang lepas menunaikan janji ˜membahagiakan’ rakyat. Tunaikanlah janji anda. Jangan hanya menjadi juara di gelanggang pilihanraya tetapi tersungkur ketika melaksanakan tanggungjawab.

 

Jika Tidak Mahu Dihina Orang Lain, Kita Jangan Menghina Diri Sendiri

April 6, 2008 pompetos Leave a comment

 

Lihatlah umat Islam dari sudut politik, pendidikan, ekonomi, sosial dan berbagai lagi. Kes-kes penyalahgunaan kuasa politik dan rasuah yang dikaitkan dengan pemimpin yang beragama Islam lebih banyak dari yang beragama lain. Politik orang melayu muslim lebih banyak memikirkan kepentingan diri, sedang ‘orang lain’ mencongaknya untuk kepentingan kaumnya. Kemajuan pendidikan anak-anak bukan muslim lebih diberi perhatian oleh ibubapa mereka dibandingkan anak ‘orang kita’.

Dari sudut ekonomi, kita jauh ketinggalan masih di belakang dibandingkan ‘orang lain’. Kes-kes jenayah, dadah dan keruntuhan moral yang membabitkan mereka yang mengakui muslim, jauh ‘memenangi persaingan’ dibandingkan bangsa lain yang tidak menganut Islam. Ternyata, kita telah benar-benar menghalang cahaya Islam ini dari sampai ke penglihatan ‘orang lain’. Sampah sarap dan bau busuk yang kita longgok di hadapan manusia, telah benar-benar menghalang cahaya Islam yang kudus untuk sampai kepada mereka.

Dalam keadaan yang seperti ini, maka janganlah hairan jika kita sering dituduh. Kita bukan sahaja telah meninggalkan Islam yang diamanahkan kepada kita, tetapi kita juga telah mencemarkannya, maka orang lain pun tidak hairan lagi untuk menghinanya. Selagi kita tidak membetulkan keadaan umat ini terlebih dahulu, selagi itulah penghinaan seperti ini akan berterusan.

Sabda RasululLah s.a.w.: “Akan tiba masanya umat-umat lain akan mengajak satu sama lain untuk membinasakan kamu (umat islam) sebagaimana orang mempelawa satu sama lain kepada dulang makanan yang besar (menjamah hidangan makanan) . Seorang sahabat bertanya “Apakah disebabkan bilangan kami sedikit pada masa itu ya Rasulullah?” Baginda menjawab “Bahkan bilangan kamu diwaktu itu adalah ramai tetapi kamu adalah ghutha` (sampah sarap dan buih) di atas air ketika banjir. Allah akan cabut ketakutan dari dada musuh kamu dan dia akan campakkan dalam hati kamu penyakit al-wahn.” Seorang sahabt bertanya pulak ” Ya Rasulullah apakah dia al-wahn itu?” Jawab Rasulullah “cinta dunia dan takut mati” (Riwayat Abu Daud. Al-Albani menilainya sebagai sahih).

Oleh kerana itu, saya menyeru kepada diri saya dan kita semua, bahawa sebelum kita mahu bangkitmelenting dengan penghinaan sesiapa terhadap Islam, tanyalah kepada diri sendiri, apakah Islam itu selama ini mulia di tangan kita? Apakah Islam berjaya diperlihatkan kemuliaannya dengan adanya kita ini sebagai Muslimnya? Apakah nilai yang ada pada kita untuk mengangkat kemuliaan Islam?

Sesungguhnya, sebelum Salman Rushdi atau Geert Wilders muncul dengan penghinaannya terhadap Islam secara bermusim, kitalah si kaum Muslim yang menghina Islam sehari-harian dengan kemunduran akal, akhlaq dan segala yang kita ada atas nama Islam!

 

Masyarakat Berkomunikasi dan Berinformasi (K-Keluarga)

March 28, 2008 pompetos Leave a comment

buddy.jpg

Salah satu aktiviti asas manusia adalah berkomunikasi. Anak yang baru lahir akan menangis untuk menyampaikan mesej bahawa beliau hidup. Dan kemudian akan menangis lagi kerana basah, lapar atau tidak selesa. Apabila telah dewasa anak-anak ini akan bercakap untuk berkomunikasi dengan lebih khusus tentang apa yang dimaksudkan.

Pada peringkat dunia pula, manusia telah berkomunikasi sejak dahulu lagi. Di samping bercakap secara bersemuka, pelbagai bentuk komunikasi telah dicipta untuk menyampaikan mesej pada jarak jauh. Sebagai contoh, beduk telah digunakan untuk mengingati orang ramai tentang masuknya waktu solat. Orang-orang Indian di Amerika Syarikat telah menggunakan kepulan asap untuk berkomunikasi dengan pihak lain.Burung juga telah digunakan untuk menghantar mesej ke pihak yang berjauhan.

Keperluan untuk berkomunikasi pada jarak jauh secara berkesan dan pantas serta keperluan untuk menyebar serta mendapat maklumat dengan pantas dan banyak telah menyebabkan banyak kajian dilakukan olleh pakar-pakar dan orang perseorangan. Hasil dari penyelidikan-penyelidikan ini adalah media dan teknologi komunikasi seperti telefon, radio, televisyen, mesin cetak, komputer dan bermacam-macam lagi.

Pada asasnya teknologi komunikasi membawa maksud kaedah atau cara dan peralatan yang membuatkan proses atau aktiviti komunikasi itu lebih cepat, cekap, mudah dan berkesan. Ia juga memberi gambaran bahawa maklumat, mesej atau ilmu pengetahuan yang banyak dan pelbagai dapat disampaikan atau diterima dari sumber kepada penerima di lokasi yang berbeza secara mudah, pantas dan cekap.

Sementara itu, konsep teknologi maklumat merujuk kepada kaedah, peralatan dan perisian yang digunakan dalam kegiatan menjana, mengumpul, memproses, mengurus, menyebar dan menyimpan maklumat.

Komputer sering dikaitkan dengan teknologi maklumat kerana ia mampu untuk melaksanakan semua aktiviti yang dinyatakan tadi. Oleh kerana media komunikasi, teknologi komunikasi dan teknologi maklumat dalam banyak hal merujuk kepada benda yang sama dan membawa serta mengandungi “benda” yang sama iaitu maklumat, mesej atau ilmu pengetahuan, maka istilah ICT telah diperkenalkan.

Istilah ICT ini digunakan untuk memastikan bahawa segala media komunikasi, teknologi komunikasi dan teknologi maklumat terkandung di dalamnya. Sehubungan dengan ini, pada tahap makro, ICT merangkumi komputer, telefon, televisyen, akhbar, set ho-fi, Internet, telefon selular VCR, DVD dan lain-lain lagi. Pada tahap mikro, kita masi lagi boleh menyatakan bahawa radio adalah media komunikasi, komputer adalah teknologi maklumat dan telefon selular adalah contoh teknologi maklumat.

Penciptaan dan perkembangan ICT banyak bergantung kepada kemajuan masyarakat itu sendiri. Kemajuan sesebuah masyarakat itu boleh dilihat melalui perubahan dari masyarakat petani ke masyarakat perindustrian dan seterusnya ke masyarakat informasi atau masyarakat maklumat. Masyarakat informasi terbentuk apabila sebilangan besar tenaga buruhnya terdiri daripada pekerja informasi dan informasi itu sendiri adalah unsur penting.

Secara amnya, “Pekerja informasi adalah individu-individu yang kegiatan utamanya adalah mengeluar, memproses dan mengedar informasi serta mengeluarkan teknologi informasi. Contoh-contoh pekerjaan pekerja informasi ialah guru, saintis, wartawan akhbar, perancang komputer, perunding, setiausaha dan pengurus”

Untuk melahirkan masyarakat informasi, ia kena bermula dengan keluarga informasi kerana keluarga adalah unit asas masyarakat. Oleh yang demikian, untuk melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan (k-masyarakat), maka anggota masyarakat yang terdiri daripada ahli keluarga hendaklah terlebih dahulu menjadi keluarga berilmu pengetahuan (k-keluarga).

K-keluarga boleh dikatakan sebagai sebuah keluarga dan dapat menjana ilmu pengetahuan, menggunakan ilmu pengetahuan dalam sebahagian besar (kalau tidak semua) kegiatan harian, memproses ilmu pengetahuan, berkongsi ilmu pengetahuan dengan individu atau keluarga lain dan menyebarkan ilmu pengetahuan yang mereka ada atau perolehi untuk pengetahuan serta kegunaan awam.

Oleh yang demikian, setiap anggota keluarga yang menuju ke tahap k-keluarga hendaklah mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk menggunakan ICT bagi memudahkan proses penjanaan, pemprosesan, penggunaan, perkongsian dan penyebaran ilmu pengetahuan.

Insya-Allah, setiap keluarga mampu untuk mencapai tahap K-Keluarga ini sekiranya keluarga merancang masa depan anak-anak dengan baik dan bersedia untuk berani mempelajari ilmu baru selaras dengan perkembangan semasa. Supaya generasi kita tidak ketinggalan di dunia yang semakin mencabar ini.