Archive

Author Archive

Ketidakpastian Yang Disengajakan (10 Malam Terakhir Ramadhan)

September 12, 2009 pompetos Leave a comment

oleh : Ustaz Hasrizal Jamil (Saifulislam.com)

ramadhan

Menanti sebuah malam.

Menanti atau mencari dan memburunya?

Lailatul Qadar adalah malam yang pasti datang. Jika menantinya itu hanya dengan sekadar berjaga malam, maka orang-orang yang bersekang mata tanpa berbuat apa-apa itulah yang beruntung dilintas kehadiran malam itu. Sesungguhnya ia bukan malam penantian, tetapi malam pemburuan dan pencarian.

Entahlah di malam 21, atau malam 23, atau malam-malam ganjil yang lain… Lailatul Qadar dianugerahkan. 9 Ramadhan yang ditempuh Rasulullah SAW di sepanjang hayat Baginda selepas pensyariatan ibadah puasa, menyebabkan riwayat-riwayat tentang Lailatul Qadar hanya tersimpul sebagai suatu anugerah yang diberi pada 10 malam terakhir Ramadhan itu.

“Mengapa tidak ditetapkan sahaja satu malam yang khusus bahawa itulah malam Lailatul Qadar?” ada yang bertanya.

“Anta cadangkan malam yang mana?” saya pun bertanya seada-adanya.

“Malam 27 barangkali” katanya.

“Maka beruntunglah penjual minyak tanah dan pelita untuk malam tujuh likur itu ya!” saya bergurau.

“Eh, ke situ perginya ustaz” kata beliau.

KEKELIRUAN E-BACAAN (ANTI HADITH)

Saya terbaca sebuah artikel yang dikarang di halaman web e-bacaan yang menolak hadith-hadith Nabi SAW termasuk hadith berkaitan Lailatul Qadar. Ulasan penulisnya mengatakan bahawa penantian atau pencarian Lailatul Qadar itu adalah sia-sia kerana kesemua hadith berkaitan, bertentangan di antara satu sama lain. Walhal hadith-hadith itu adalah himpunan dialog dan penjelasan Nabi SAW tentang Lailatul Qadar pada sekurang-kurangnya 9 kali ketibaan Ramadhan di sepanjang hayat Kerasulan Baginda SAW. Setiap hadith itu diungkapkan pada tahun-tahun yang berbeza, bukannya saling bertentangan seperti yang terfahamkan oleh golongan anti hadith ini.

Soalnya, bagaimana kalau ketidakpastian itu suatu kesengajaan? Ia bukan kejahilan tetapi ada rahsia besar di sebalik semuanya?

MAKAN GAJI VS KERJA SENDIRI

Lebih mudah untuk kita analogikan seorang yang makan gaji dengan seorang yang berniaga sendiri. Orang yang makan gaji, pendapatannya tetap setiap hujung bulan. Sama ada dirinya produktif atau tidak, hasilnya sama. Malah pada bulan Ramadhan ini, dengan membanyakkan tidur di pejabat dan pulang awal setiap hari, hasil pendapatan tetap sama. Sesuatu yang tetap dan pasti, rupa-rupanya boleh menjejaskan kesungguhan dan produktiviti, seiring dengan kurangnya rasa bersyukur atas kurniaan.

Berbeza pula dengan yang berniaga sendiri. Penghasilannya amat bergantung kepada kesungguhan, kerajinan dan produktiviti masing-masing. Kuat bekerja banyak hasilnya. Sedikit berusaha, terjejaslah pendapatannya.

Ketidakpastian adalah rahsia kesungguhan dan kerja keras yang diperlukan. Ketidakpastian + usaha keras = kemajuan, itu sifirnya.

Demikianlah hikmah sebuah ketidakpastian.

LIPATGANDA

30 hari yang terlalu panjang itu mungkin berat untuk sebuah pencarian. Justeru Islam memberitahu bahawa tingkatkan usaha mengejar Lailatul Qadar yang tidak pasti itu pada malam-malam 10 yang terakhir. Lantaran ia hadir pada malam-malam yang tidak ditentukan, manusia yang ada azam untuk berjaya akan melipatgandakan usaha untuk berhasil menemuinya. Malam Lailatul Qadar.

Kesungguhan itulah pelengkap proses Taqwa.

Kesungguhan yang diperlukan untuk sebuah kehidupan yang pasti ada jangka masa, tetapi persoalan bila itu dibiarkan sebagai sebuah ketidakpastian. Mati itu tentu, masanya tidak pasti. Antara ketentuan dan ketidakpastian ajal, seorang mukmin memajukan sebuah kehidupan.

Memikirkan peluang beramal berakhir pada jangka waktu yang tidak pasti, Nabi SAW memberi ingatan kepada kita agar mengerjakan solat dengan “SOLAT PERPISAHAN”. Bayangkan setiap solat yang didirikan sebagai solat terakhir kita, kerana mati itu tidak pasti. Kerana kita mati sentiasa di antara dua solat…

Ketidakpastian yang mendesak kesungguhan juga perubahan.

“Jibril datang kepadaku dan berkata, ‘Wahai Muhammad, siapa yang menjumpai bulan Ramadhan, namun setelah bulan itu habis dan ia tidak mendapat ampunan, maka jika mati ia masuk Neraka. Semoga Allah menjauhkannya. Katakan: Amin!. Aku pun mengatakan: Amin! ” (HR. Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dalam Shahihnya)

Allah Tidak Jauh, Doa Sentiasa Mustajab

September 6, 2009 pompetos Leave a comment

Oleh : Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (drmaza.com)

ANTARA tanda kasih sayang dan rahmat Allah kepada hamba-hamba-Nya adalah Dia tidak mewujudkan sebarang halangan untuk seorang hamba memohon kepada-Nya. Insan diperintahkan berhubung langsung dengan Allah tanpa sebarang ‘broker’ dalam hubungan yang suci itu. Tiada sebarang perantaraan antara Allah dan hamba-hamba-Nya.

Islam menolak segala unsur keberhalaan yang menjadikan makhluk sebagai tuhan jelmaan menggantikan tuhan yang hakiki. Islam menganggap perbuatan memohon kemakbulan doa dari makhluk adalah syirik. Tidak kira siapa pun makhluk itu. Sama ada dia nabi ataupun wali.

Seorang muslim tidak diizinkan pergi ke kubur mereka dan menyeru: wahai fulan tolonglah saya! Atau: Wahai nabi tolonglah tenteramkan jiwa saya! Atau: Wahai wali sembuhkanlah penyakit saya!

Perbuatan itu adalah syirik. Mukmin hanya meminta doa daripada Allah. Firman Allah: (maksudnya)

Dan tiada yang lebih sesat dari orang yang menyeru selain Allah, yang tidak dapat menyahut seruannya sehinggalah ke hari kiamat, sedang mereka (makhluk-makhluk yang mereka sembah itu) tidak dapat menyedari permohonan tersebut. Dan apabila manusia dihimpunkan (untuk dihitung amalan pada hari akhirat), segala yang disembah itu menjadi musuh (kepada orang-orang yang menyembahnya) dan membantah mereka (surah al- Ahqaf: 5-6).

Firman Allah: (maksudnya) :

Allah jua yang memasukkan malam kepada siang dan memasukkan siang kepada malam (silih berganti), dan Dia yang memudahkan peredaran matahari dan bulan; tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Yang melakukan semuanya itu ialah Allah Tuhan kamu, bagi-Nyalah kuasa pemerintahan; sedangkan mereka yang kamu sembah selain Allah itu tidak mendengar permohonan kamu, dan kalaulah mereka mendengar pun, mereka tidak dapat memperkenankan pemohonan kamu; dan pada hari kiamat pula mereka mengingkari perbuatan syirik kamu. Dan (ingatlah) tiada yang dapat memberi tahu kepadamu (Wahai Muhammad, akan hakikat yang sebenarnya) seperti yang diberikan Allah Yang Maha mendalam pengetahuan-Nya (surah Fatir: 13-14).

Maka perbuatan memohon selain Allah, sama ada menyeru berhala secara terang atau memanggil nama para wali seperti Abdul Qadir al-Jailani atau wali ‘songo’ atau apa sahaja termasuk dalam kerja-kerja syirik yang diharamkan oleh nas- nas al-Quran dan al-sunah.

Nabi s.a.w. begitu menjaga persoalan akidah ini. Daripada Ibn ‘Abbas:

“Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w: “Apa yang Allah dan engkau kehendaki.” Maka baginda bersabda kepadanya: Apakah engkau menjadikanku sekutu Allah, bahkan (katakan): apa yang hanya Allah kehendaki. (Riwayat al-Imam Ahmad dinilai sahih oleh Al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, 1/266).

Bandingkanlah ketegasan Nabi ini dengan ajaran sesetengah guru tarekat atau sufi yang mencetuskan segala unsur keajaiban pada diri mereka agar dikagumi oleh pengikutnya. Akhirnya, mereka seakan Tuhan yang disembah, atau wakil Tuhan yang menentukan penerimaan atau penolakan amalan pengikutnya. Bahkan untung rugi nasib masa depan pengikut pun seakan berada di tangan mereka.

Demikian juga, pengikut yang melampau, berlebih-lebihan memuja tokoh agama, akhirnya boleh terjerumus kepada kesyirikan. Terlampau memuja tokoh seperti itulah yang menyebabkan banyak individu dianggap keramat dan suci sehingga dipanggil ‘tok keramat’ lalu mereka seakan dimaksumkan. Kemudian, datang pula orang-orang jahil ke kubur mereka membayar nazar atau meminta hajat mereka ditunaikan. Sehingga apabila saya ke Urumuqi di China, ada satu gua yang kononnya dianggap tempat Ashabul Kahfi yang disebut dalam al-Quran itu.

Ramai yang pergi melakukan kesyirikan dengan meminta hajat di situ. Saya beritahu bahawa dalam dunia ini entah berapa banyak gua yang didakwa kononnya tempat Ashabul Kahfi. Ada di Turki, Jordan dan lain-lain. Semuanya dakwaan tanpa bukti. Sama juga kononnya tempat-tempat sejarah nabi yang didakwa oleh sesetengah pihak. Tiada petunjuk yang dapat memastikan ketulenannya.

Jika pun benar, mereka bukan tuhan untuk seseorang meminta hajat. Inilah yang terjadi kepada Nabi Isa. Dari seorang nabi yang diutuskan, akhirnya manusia menabalkannya menjadi anak Tuhan. Meminta hajat daripada orang-orang agama atau soleh setelah mereka mati adalah syirik. Islam tidak kenal perkara seperti itu. Islam tulen bebas dari segala unsur kebodohan tidak bertebing itu.

Ada yang cuba membela dengan menyatakan: bukan apa, mereka ini ialah orang yang dekat dengan Allah, kita ini jauh. Maka kita gunakan perantaraan mereka. Macam kita hendak dekat dengan menteri atau raja. Saya kata kepada mereka: Adakah awak menganggap Allah itu sama dengan tabiat raja atau menteri awak? Dakwaan inilah yang disanggah oleh al-Quran sekeras-kerasnya.

Firman Allah: (maksudnya):

Ingatlah! Hanya untuk Allah agama yang bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung itu berkata: “Kami tidak menyembah mereka (tuhan-tuhan palsu) melainkan untuk mendekatkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”. Sesungguhnya Allah akan menghukum antara mereka tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan- bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik) (al-Zumar:3).

Setelah Allah menceritakan tentang bulan Ramadan dan kewajiban puasa, Allah terus menyebut kemustajaban doa. Ia menunjukkan adanya kaitan yang kuat antara puasa Ramadan dan janji Allah untuk memustajabkan doa hamba-hamba-Nya. Allah berfirman (maksudnya):

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat petunjuk (surah al-Baqarah: 186).

Demikian, Allah itu sentiasa hampir dengan kita, mendengar dan memperkenankan doa kita. Sesiapapun boleh sampai kepada-Nya. Tiada pengawal atau orang tengah yang menghalang seorang hamba untuk merintih dan merayu kepada Tuhannya. Siapapun hamba itu. Apa pun bangsanya dan apa pun bahasa doanya. Apa pun sejarah buruk dan baiknya. Tuhan sentiasa sudi mendengar lalu memustajabkan pemohonan mereka dengan cara yang dikehendaki-Nya. Bertambah banyak hajat dan permohonan seorang hamba, bertambah kasih dan dekat Allah kepadanya.

Amat berbeza dengan tabiat makhluk yang lemah ini. Walau bagaimana baik pun seseorang dengan kita, namun jika kita terlalu meminta, perasaan jemu dan bosan akan timbul dalam jiwanya. Allah Maha Suci dari demikian. Dia menyuruh kita berdoa dan membanyakkan doa. Ini kerana doa adalah lambang kehambaan diri kepada zat yang Maha Agung. Firman Allah (maksudnya):

Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat (berdoa kepada-Ku) akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina (surah Ghafir: 60).

Seseorang kadangkala tidak perasan bahawa apabila dia berdoa kepada Allah sebenarnya dia sedang melakukan ibadah yang besar. Walaupun pada zahirnya kelihatan dia sedang memohon untuk kepentingan diri sendiri, namun hakikatnya dia sedang membuktikan keikhlasan tauhidnya kepada Allah dan ketundukan kepada Tuhan Yang Sebenar. Maka dengan itu Nabi menyatakan: Doa itu adalah ibadah. (Riwayat Abu Daud dan al- Tirmizi, sahih). Jika sepanjang malam seorang hamba berdoa kepada Allah, bererti sepanjang malam dia melakukan ibadah yang besar.

Doa sentiasa diterima oleh Allah. Jika ada yang kelihatan tidak diterima, mungkin ada beberapa faktor yang mengganggu. Mungkin pemohonan itu tidak membawa kebaikan jika dimustajabkan. Allah Maha Mengetahui. Seperti hasrat kita ingin mengahwini seseorang yang kita suka, lalu kita berdoa agar Allah menjadikan dia pasangan kita. Allah lebih mengetahui jika itu tidak baik untuk kita lalu Allah memilih untuk kita pasangan yang lain. Atau Allah memustajabkan doa orang lain yang lebih dikehendaki-Nya. Atau Allah memustajabkan doa calon berkenaan yang inginkan orang lain. Segalanya mungkin.

Namun doa tidak sia-sia. Pahala tetap diberikan, kebaikan yang lain pula akan diganti di dunia dan di akhirat. Sabda Nabi:

“Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: sama ada disegerakan kemakbulan atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepandan dengannya.” (Riwayat Ahmad, al-Bazzar dan Abu Ya‘la dengan sanad yang sahih).

Maka, ada doa kita kepada Allah diterima olehnya di dunia. Ada yang tidak diberi disebabkan hikmat yang Allah lebih mengetahuinya, lalu disimpan doa itu di sisi-Nya untuk diberikan pada hari akhirat dengan yang lebih baik dan lebih utama untuk kita. Atau doa itu ditukar dengan kebaikan-kebaikan yang lain seperti diselamatkan kita dari pelbagai bahaya yang sebahagian besarnya tidak pernah diduga.

Betapa banyak keberbahayaan yang menimpa orang lain, tetapi kita diselamatkan oleh Allah. Tidak juga kerana permohonan kita dalam perkara tersebut atau kebijaksanaan kita, namun barangkali doa kita dalam perkara yang lain, lalu diberikan gantian keselamatan untuk kita dalam perkara yang tidak diduga.

Kadangkala Dia tidak memberikan kepada kita sesuatu permohonan disebabkan rahmat-Nya kepada kita. Barangkali ingin menyelamatkan kita. Dia Maha Mengetahui, jika diberikan, mungkin kita hanyut atau menempuh sesuatu yang merugikan kehidupan di dunia atau akhirat. Kita pun demikian.

Bukan bererti apabila seorang bapa tidak tunaikan kehendak anaknya tanda kebencian terhadapnya. Bahkan sebahagian besarnya kerana kasih sayang dek bimbang jika diberikan akan mendatangkan kemudaratan. Maha Suci Allah untuk dibandingkan dengan kita semua, namun yang pasti rahmat-Nya sentiasa melimpah. Jika Dia menangguhkan doa kita, tentu ada hikmah-Nya.

Di samping itu hendaklah kita faham, doa itu bermaksud permohonan. Seorang yang berdoa mestilah bersungguh-sungguh dalam doanya. Maka tidaklah dinamakan berdoa jika tidak faham apa yang kita doa. Sebab itu saya amat hairan dengan sesetengah orang yang berdoa tanpa memahami maksud. Sesetengah mereka menghafal teks Arab kerana hendak menjadi ‘tekong’ doa dalam pelbagai majlis.

Malangnya, ada yang tidak faham apa yang dibaca dan yang mengaminkan pun sama. Ada orang merungut, kata mereka, umat Arab di Masjidilharam dan Masjid Nabawi tidak baca doa selepas solat beramai-ramai. Itu menunjukkan mereka tidak kuat pegangan Islam mereka. Saya katakan: Islam tidak diturun di kampung halaman kita, ia diturunkan di Mekah dan Madinah. Mereka melakukan apa yang menjadi amalan Rasulullah. Lagipun seseorang yang bersolat disuruh berdoa ketika dalam solat dan berwirid selepasnya.

Dalam hadis, kita diajar agar berdoa ketika sujud dan selepas membaca tasyahud sebelum salam. Di situlah antara waktu mustajabnya doa. Sabda Nabi:

“Paling dekat hamba dengan tuhannya adalah ketika sujud, maka banyakkan doa ketika sujud.” (Riwayat Muslim).

Nabi memberitahu tentang doa selepas tasyahud sebelum memberi salam dalam solat:

“Berdoalah pasti mustajab, mintalah pasti akan diberikan.” (Riwayat al-Nasai, sanadnya sahih).

Bukan bererti orang yang kita tengok tidak mengangkat tangan berdoa kuat beramai-ramai selepas solat itu tidak berdoa. Kita yang barangkali kurang faham sedangkan mungkin mereka berdoa dalam solat melebihi kita. Jika seseorang berdoa selepas memberi salam, tentulah dalam banyak hal, hajat makmum dan imam tidak sama. Maka jangan marah jika kita lihat orang berdoa bersendirian.

Nasihatilah mereka yang membaca doa tanpa faham maksudnya, atau mengaminkan tanpa mengetahui isinya. Lebih menyedihkan, kadangkala doa dibaca dengan nada dan irama yang tidak menggambarkan seorang hamba yang sedang merintih memohon kepada Allah. Sebahagian nada itu, jika seseorang bercakap kepada kita dengan menggunakannya pun kita akan pertikaikan. Layakkah nada seperti itu sebagai doa kepada Allah yang Maha Agung?

Benarlah sabda Rasulullah:

“Berdoalah kamu kepada Allah Taala dalam keadaan kamu yakin akan dimustajabkan. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai dan alpa.” (Riwayat al-Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani).

Pelajari kita nas-nas agama tentang doa kerana ianya amat penting bagi kehidupan dunia dan akhirat kita.

Antara Kesempitan Perkauman Dengan Keluasan Prinsip Islam

September 3, 2009 pompetos Leave a comment

by : S.S. Dr. Maza

Sejak kebelakangan ini tepikan slogan membela bangsa kedengaran hebat sekali. Soal warisan bangsa, semangat dulu kala dan cerita datuk nenek lama dibangkitkan semula. Keris yang disimpan mungkin ada yang ingin kembali menciumnya, sirih pinang mungkin ada yang ingin kembali mengunyahnya, zapin dan joget mungkin ada yang ingin kembali ditarikannya.

Terpulanglah, namun apa yang perlu diingat, perjuangan bangsa itu jauh lebih sempit dari perjuangan membela prinsip Islam yang bersifat sejagat lagi adil untuk semua. Tidak salah perjuangan ingin menolang bangsa sendiri. Namun adalah salah jika ia bertukar menjadi semangat perkauman yang boleh membawa kepada dizalimi pihak yang lain.

Nabi s.a.w sendiri memuji sikap tolong menolong sesama kaum. Baginda s.a.w pernah bersabda: “Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Namun baginda juga memberikan amaran kepada sikap ‘asabiyyah iaitu perkauman atau berpuak yang membawa kepada kezaliman. Baginda bersabda: “Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (Riwayat Muslim).

Rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) adalah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil, namun membela atas dasar ketaksuban.

Apakah bezanya antara keluasan prinsip Islam dengan kesempitan perkauman? Jawapannya secara umum; seseorang yang dilahirkan berbangsa melayu, tidak mampu menukar dirinya menjadi arab. Seorang yang dilahirkan berbangsa cina tidak mungkin dapat menjadi melayu. Seseorang yang dilahirkan berbangsa india tidak mungkin mampu menukar dirinya menjadi cina.

Walaupun mungkin dia boleh menyamar, atau membuat tafsiran yang berbagai dalam menukar identiti dirinya, namun hakikat diri dari segi nasab keturunan tidak mungkin dapat diubah. Hal ini berbeza dengan soal pegangan akidah Islam. Di mana, seseorang walaupun apa bangsanya, boleh menjadi muslim lagi mukmin. Bahkan dia boleh mejadi muslim yang terbaik, walaupun dia daripada bangsa paling hina pada pandangan masyarakat, tetapi Islam tidak mendiskriminasikannya.

Maka, Bilal bin Rabah r.a. seorang yang berkulit hitam, berasal dari status hamba abdi yang dihina telah menduduki tempat yang tinggi dalam Islam. Sehingga setiap muslim apabila menyebut sahaja azan untuk solat akan teringat sejarah Bilal yang bertugas sebagai muazzin (tukan azan) Nabi s.a.w. Sehingga orang melayu memanggil ‘tok bilal’ kepada tukang azan.

Sabda Nabi s.a.w: “Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuailah! Tiada kelebihan orang arab ke atas a’jam (yang bukan arab), atau a’jam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Maka perjuangan yang hanya terhad untuk membela sesuatu bangsa cuma, amatlah sempit dan terbatas. Ia perjuangan yang tidak dapat dikongsi kebaikannya oleh kaum yang lain sekalipun keadaan mereka sama.

Umpamanya, perjuangan untuk membela fakir miskin bangsa tertentu tidak dikongsi kebaikannya oleh bangsa yang lain, sekalipun kemiskinan mereka itu sama. Bahkan kadang-kala ia boleh bertukar menjadi perkauman yang amat sempit dan mengorbankan berbagai pihak atas sentimen kepuakan.

Namun jika kemiskinan cuba dilangsaikan atas nama prinsip Islam, sesiapa saja yang miskin ada hak yang boleh diperolehi sedekah Islam –temasuk dari zakat wajib dan wang baitul mal- walau siapapun keturunannya, bahkan walaupun berbeza agama, selagi dia seorang miskin.

Di sudut ikatan nasab pula, seorang cina atau melayu atau india tidak boleh menjadi arab, tetapi mereka boleh menjadi Islam. Apatah lagi, prinsip-prinsip Islam itu mementingkan keadilan tanpa pernah mengenal batasan warna kulit, rupa dan kedudukan.

Firman Allah (maksudnya): Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah al-Hujurat: 13).

Maka, orang melayu jika mereka hendak mulia, bukanlah dengan inang dan zapin, atau mak yong dan joket, tidak juga institusi raja atau adat, tetapi menegakkan prinsip-prinsip Islam yang tulen.

Bukan bererti saya menyeru agar dihapuskan identiti kaum, adat dan budaya mereka. Tidak! Sama sekali tidak! Jika adat dan budaya tidak bertentangan dengan Islam boleh diteruskan. Namun, kemuliaan insan yang hakiki tidak dapat dicapai hanya di atas semangat puak atau bangsa, sebaliknya dengan menjunjung prinsip-prinsip Islam.

Persis seperti apa yang Allah ingatkan suku Aus dan Kharaj di Madinah. Firman Allah: (maksudnya) “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulunya bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara jantung hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara (persaudaraan Islam). Dan kamu dahulunya berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu darinya (disebabkan nikmat Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. (Surah Ali ‘Imran ayat 103).

Kata al-Imam Qatadah al-Sadusi (meninggal 118H) lebih seribu tiga ratus yang lalu kepada orang arab: “Dahulunya bangsa arab ini manusia yang paling hina, paling buruk kehidupannya, paling sesat, paling kurang pakaian dan paling lapar. Dicengkam antara dua singa; Parsi dan Rum.

Demi Allah! Tiada di tanahair arab apa yang memboleh orang lain iri hati kepada mereka. Sesiapa yang hidup di kalangan mereka, hidup dalam keburukan dan yang mati pula, binasa dan dibuang ke dalam api. Mereka dimakan, mereka tidak memakan.

Demi Allah! Kita tidak tahu adanya bangsa di bumi ini pada masa itu yang paling rendah dan lekeh daripada mereka. Sehinggalah Allah membawa Islam kepada kamu (wahai orang arab!). Allah bekalkan kepada kamu al-Quran, Dia membuka kepada kamu bumi jihad, Dia meluaskan untuk kamu rezeki, Dia jadikan kamu memerintah manusia.

Dengan Islamlah Allah berikan kepada kamu apa yang sedang kamu lihat. Bersyukurlah terhadap nikmat-nikmatNya kerana tuhan kamu pemberi nikmat yang sukakan mereka yang bersyukur. Mereka yang bersyukur pula sentiasa mendapat tambahan”. ( Al-Tabari, Tafsir al-Tabari –tahziban- 2/349, Damsyik: Dar al-Qalam).

Sebelum itu, saya selalu ulangi apa yang ‘Umar bin al-Khattab ucap ketika membuka Baitul Muqdis, setelah umat Islam berjaya membebaskan kota suci itu: “Kita dahulunya adalah kaum yang hina, Allah telah memuliakan kita dengan Islam, andainya kita mencari kemuliaan selain dari apa yang telah Allah muliakan kita dengannya maka kita akan dihina oleh Allah”. Riwayat ini sanadnya dikatakan sahih oleh al-Hakim dan disokong oleh al-Zahabi (Al-Hakim, al-Mustadrak, 1/237, Beirut: Dar al-Ma’rifah).

Maaf jika saya sebutkan, apalah sangat yang hendak dibanggakan dengan bangsa melayu jika dilihat pada realiti hari ini secara perbandingan? Kita bukan yang paling berjaya dalam ekonomi, tidak juga dalam pelajaran akademik. Bahkan politik melayu pun dalam banyak keadaan telah mengorban bangsa sendiri.

Orang lain berpolitik secara seni yang akhir mengaut untung untuk dibahagi sesama mereka. Sementara kita bertarung bermati-matian sesama sendiri sekalipun sehingga tergadai negeri dan kota. Kedengkian sesama sendiri, melebihi cemburu kita kepada ‘orang lain’.

Ada pula yang diberi amanah, negara dijadikan modal untuk kocek sendiri, anak menantu dan juga segala macam kroni. Sementara yang hendak membaiki, ada pula yang sanggup menanggalkan prinsip perjuangan kerana melihat ‘kerusi idaman’.

Begitulah kita seadanya. Silap hari bulan, ‘yang dikejar tidak dapat, yang dikendung berciciran’. Mungkin kita mempunyai kejayaan menjadi bangsa yang memliki ‘penagih dadah yang teramai’, ‘pengidap HIV AIDS yang terbanyak, berjaya memenuhi semua jawatan mat rempit dan mat lepak dan segala macam kedudukan yang bangsa lain dalam negara ini kosongkan agar dapat kita penuhi tanpa persaingan. Itulah realitinya, suka atau tidak!

Kalau muncul sesiapa yang kononnya pejuang bangsa, kita pun tidak pasti, adakah dia ikhlas, atau untuk merebut kerusi pilhanraya? Sebabnya, yang bercakap tentang kepentingan bangsa itulah juga yang melonggokkan keseronokan kepada anak muda melayu sehingga mereka hanyut dan menjadi pemuja orang politik yang telah memberi kebebasan yang ‘seronok giler’ kepada mereka.

Mereka juga kadang-kala yang menindas sesama bangsa kerana kepentingan kocek sendiri, kemudian apabila datang muncul berkempen mereka berlagak menjadi pejuang bangsa, bahkan agama. Siapa yang menjadi “ali baba?”, ”siapa yang menjual tanah melayu?” siapa yang mendiskriminasi sesama melayu? Sebahagiannya, mereka inilah.

Sementara melayu yang menggunakan nama Islam pula, ada yang hanya menjadikannya modal kempen. Hari ini prinsip-prinsipnya pun sudah mula luntur. Dulu ada yang bukan main ekstrim sehingga saya pun diserang dan dituduh longgar. Hari ini ada di kalangan penceramah yang sedemikian yang kelihatan bukan sahaja longgar, tapi mungkin boleh terlondeh. Ada juga di kalangan semua itu yang benar-benar jujur, saya tidak nafikan.

Saya katakan; masa depan orang melayu tidak akan dapat dijamin oleh semua slogan dan kempen-kempen bermusim ini. Penyelesaian yang sebenar adalah semua pihak di kalangan umat Islam tanpa mengira bangsa di negara ini hendaklah kembali kepada prinsip-prinsip Islam dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Penafsiran terhadap Islam ini hendaklah bebas dari kepentingan kerusi, parti, bangsa, puak, mazhab, aliran dan segalanya. Hanya Islam yang tulen, seperti mana hari ia diturunkan oleh Allah. Itulah penyelamat arab zaman dahulu, dan itulah penyelamat melayu!

Bukan Islam ala melayu yang mewajibkan Marwan bin Ah Seng mengubah nama bapa kerana bapanya cina dan Ah Seng bukan nama arab. Tetapi dapat pula menerima Marwan bin Awang, kerana Awang bangsa melayu sekalipun Awang bukan nama arab.

Bukan yang sibuk dengan orang lain hendak menggunakan nama Allah –pada hal Allah mengizinkan-, tetapi tidak pula sibuk membaiki penerangan akidah.

Bukan yang hanya meletakkan nama Islam untuk politik, tetapi gagal mengislamkan lidah ketika berkempen politik.

Bukan hanya yang menggunakan nama Islam untuk mengutip zakat, tetapi melupai amanah Islam dalam membahagikan zakat.

Begitulah seterusnya. Islam tulen, seperti zaman salaf dalam akidah dan ibadah, dan melihat keluasan agama dalam urusan umum kehidupan. Islam yang akan menjadikan kita umat dakwah dan pembawa risalah keagungan agama, bukan yang hanya memikir pembinaan bangunan tetapi membiarkan keruntuhan akidah dan akhlak.

Seperti kata al-Nadwi yang selalu saya ulangi: “Hendaklah orang Arab ketahui bahawa mereka tidak memasuki (pentas) sejarah kecuali dengan jalan risalah Islam dan dakwah islamiyyah. Allah tidak menumbuhkan kecintaan (orang lain) kepada mereka dalam jiwa dan hati, tidak tersebar bahasa mereka dengan sebegini luas, ia tidak kekal dan abadi, tidak ditulis dengannya ilmu yang banyak, tidak terbentuk dengannya perpustakaan yang begitu besar yang mana ulama bukan Arab mendapat habuannya lebih dari orang Arab sendiri, kecuali dengan sebab kelebihan al-Quran dan syariat Islam. Orang Arab tidak akan kembali kepada kedudukan mereka yang awal dan tidak akan memasuki (pentas) sejarah sekali lagi melainkan melalui pintu yang mereka masuk pada awalnya”. (Al-Nadwi, Kaif Dakhal al-‘Arab al-Tarikh, m.s 26, cetakan: Al-Majma’ al-Islami al-‘Ilmi, Lacknow, India).

Seperti orang arab pada hari ini menjadi lemah dan hina kerana meninggalkan Islam tulen, demikian nasib kita akhirnya jika tidak kembali kepada sumber agung Islam; al-Quran dan al-Sunnah.

Bila komputer riba ganti buku teks

January 12, 2009 pompetos Leave a comment

Oleh : Mohd Fuad Razali (MalaysiaKini.com)

Pada 12 Januari lalu, Bernama Online melaporkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom sebagai berkata Kementerian Pelajaran akan mengkaji terlebih dahulu keberkesanan pelaksanaan program e-Buku (e-Book) yang dilancarkan di Terengganu, pada hari berkenaan, sebelum diperluas dalam sistem pendidikan negara. Mengikut laporan itu, Terengganu menjadi negeri perintis program e-Buku yang menyediakan komputer riba kepada pelajar bagi menggantikan buku sekolah.

Ada beberapa fakta dalam laporan berita itu yang menarik perhatian saya:

1. Datuk Alimuddin berkata, projek itu satu perkembangan baik untuk kemajuan pendidikan yang bakal melonjakkan lagi pencapaian Terengganu dalam bidang pendidikan. Maknanya, dengan penggunaan e-Buku, pencapaian pendidikan di Terengganu akan melonjak.

2. Bagaimanapun beliau difahamkan ia agak mahal. Jadi, Kementerian Pelajaran akan melihat dahulu bagus atau tidaknya penggunaan e-Buku ini. Jika bagus, kata Datuk Alimuddin, kementerian akan mempertimbangkan penggunaannya untuk masa depan.

3. Datuk Alimuddin juga berkata, keberkesanan projek itu hanya dapat dilihat dalam tempoh dua tiga bulan sebaik ia mula digunakan oleh murid darjah lima di Terengganu Mei ini. Maknanya, dalam tempoh dua tiga bulan saja sudah dapat dilihat lonjakan hasil penggunaan projek itu.

4. Kementerian juga, kata Datuk Alimuddin, turut melihat projek e-Buku sebagai alternatif bagi mengatasi masalah beg sekolah berat yang dihadapi murid-murid.

5. Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, pula berkata kilang pemasangan komputer riba itu yang bernilai RM8.5 juta di kawasan Perindustrian Gong Badak dekat sini dijangka siap Mac ini. Bagaimanapun laporan itu tidak menyebutkan kilang itu milik dan diusahakan oleh siapa.

6. Beliau juga berkata, seramai 23,000 hingga 25,000 murid tahun lima akan mula menerima komputer mulai Mei secara berperingkat-peringkat sebelum diperluaskan kepada murid darjah enam, empat, tiga, dua dan satu. Pelajar sekolah menengah di negeri itu diberitahu akan menerimanya pada fasa kedua.

7. Datuk Ahmad juga berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM30 juta setahun bagi projek itu. “Setiap komputer yang dibekalkan berharga kira-kira RM1,300 dan kita akan pastikan setiap murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah menerima e-Buku sebelum mengedarkannya ke negeri lain,” katanya. Datuk Ahmad berkata beberapa buah negeri telah menunjukkan minat untuk melaksanakan e-Buku dan membeli komputer dari Terengganu.

Saya percaya ramai ibu bapa tidak menentang penggunaan e-buku, komputer peribadi (PC) ataupun komputer riba di sekolah sama ada untuk tujuan pengurusan mahupun pengajaran dan pembelajaran. Malah kita mengalu-alukan penubuhan makmal komputer di sekolah untuk mengajar anak-anak kita menggunakan alat dan teknologi berkenaan. Ia sesuai dengan kata-kata Saidina Umar supaya kita mengajar anak-anak kita sesuai dengan zaman mereka.

Bagaimanapun, apabila komputer riba hendak diberikan kepada setiap pelajar bagi menggantikan buku sekolah, saya ada sedikit ‘reservation’. Ada beberapa persoalan yang bermain dalam fikiran saya:

1. Benarkah penggunaan komputer riba atau dalam konteks lebih luas, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), boleh membantu melonjakkan pencapaian pelajar? Maknanya, pelajar yang tidak pernah mendapat Gred A sebelum ini, tetapi dengan penggunaan ICT, boleh mendapat Gred A bagi semua subjek atau jika tidak pun, banyaklah subjek yang mendapat Gred A. Adakah begitu?

Seorang bekas pegawai tinggi di Kementerian Pelajaran pernah berkata kepada saya bahawa penggunaan ICT memang terbukti berjaya meningkatkan kecekapan pengurusan seperti dalam pembayaran gaji kerana kerja yang selama ini dibuat oleh lima enam orang, dengan kemudahan ICT, boleh dikendalikan oleh seorang saja. Tetapi, katanya, belum ada kajian menunjukkan penggunaan ICT boleh meningkatkan atau melonjakkan pencapaian akademik pelajar. Maknanya, belum ada testimoni menunjukkan dengan penggunaan komputer atau ICT, pelajar tercorot melonjak pencapaiannya!

2. Komputer riba itu dilaporkan berharga kira-kira RM1,300 sebuah. Dengan peruntukan RM30 juta setahun, bermakna seramai 23,077 pelajar di Terengganu akan menerima komputer riba setiap tahun. Terengganu mungkin tidak menghadapi masalah menyediakan peruntukan itu kerana ada banyak duit, terutama royalti minyak. Tetapi bagaimana negeri lain yang dikatakan berminat untuk mengikut jejak Terengganu itu? Jika Kementerian Pelajaran hendak meniru projek itu, kita perlu ingat ketika ini kita ada kira-kira lima juta pelajar di seluruh negara. Maknanya, kita memerlukan RM8.5 bilion untuk tujuan itu saja. Atau kita mulakan dengan murid tahun satu saja. Jika setiap tahun 420,000 murid masuk tahun satu (ambil statistik tahun ini), kementerian perlukan RM546 juta setahun itu. (Tahun ini kementerian itu dilaporkan membelanjakan RM180 juta untuk Skim Pinjaman Buku Teks).

3. Jika komputer riba yang diberikan kepada pelajar itu rosak, siapa akan menanggung kos penyengaraannya? Kerajaan negeri, Kementerian Pelajaran atau pelajar dan ibu bapa sendiri? Laporan Bernama tidak menyatakan sama ada peruntukan RM30 juta setahun yang disediakan Kerajaan Terengganu itu meliputi kos penyenggaraan. Jika kementerian laksanakan program itu, sanggupkah kementerian memikulnya? Kita ada 5 juta pelajar!

Saya ragu-ragu jika ibu bapa pelajar sendiri yang perlu menanggungnya. Mungkin ramai yang tidak kisah kerana komputer riba pun dah percuma. Cuma kita lihat, dalam keadaan sekarang, walaupun buku teks percuma diberikan kepada semua pelajar, yuran khas RM4.50 seorang (di sekolah) dan RM9.50 seorang (di sekolah) dah dimansuhkan, nak bayar yuran tambahan sebanyak RM20, RM30 atau RM50 setahun bagi satu keluarga kepada PIBG pun ada riuh rendah satu negara. Ada pengetua kata, termasuk yang buat riuh rendah tu, pegawai pendidikan sendiri! Jadi, bagaimanalah agaknya jika ibu bapa macam tu kena keluarkan duit kocek sendiri untuk penyenggaraan komputer riba itu?

4. Benarkah keberkesanan projek itu dapat dilihat dalam tempoh dua tiga bulan? Keberkesanan dari segi apa? Dari segi kemahiran pelajar menggunakan komputer riba itu sewaktu pembelajaran atau dari segi lonjakan pencapaian pelajar dalam pelajaran? Kalau yang pertama mungkin, tetapi yang kedua, saya tak pasti!

Saya dapati kita di Malaysia terkenal dengan projek perintis yang pantas ini. KBSR misalnya, dicuba setahun, kemudian tahun berikutnya, terus dilaksanakan di seluruh negara. Begitu juga apabila subjek Sains diperkenalkan semula di sekolah rendah menggantikan Alam dan Manusia, selepas setahun dibuat projek rintis di beberapa sekolah, tahun berikutnya terus dilaksanakan di seluruh negara. PPSMI (pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris) lagi hebat, tanpa sebarang projek perintis, terus dilaksanakan di seluruh negara.

5. Bolehkah ia menyelesaikan masalah beg berat? Rupa-rupanya isu ini masih belum selesai sejak ia hangat diperkatakan dan dilaporkan dalam media massa pada zaman Tan Sri Sulaiman Daud menjadi menteri pendidikan kali kedua. Isu yang sama juga timbul zaman Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Musa Mohamed memegang portfolio yang sama. Ya, mungkin menggantikan buku teks tetapi untuk atasi masalah beg berat, saya rasa bergantung kepada berapa berat komputer riba yang nak dipikul oleh pelajar nanti, terutama murid tahun satu!

Saya bimbang masalah beg berat tak selesai, timbul masalah lain pula. Maklumlah, alat elektronik – sensitif. Silap pikul, jatuh beg atas jalan, dibuatnya tak boleh berfungsi, dah timbul masalah lain pula. Nak baiki, siapa nak tanggung kosnya? Atau boleh dapat ganti yang baru? Sekarang, jika buku teks rosak atau hilang, ibu bapa kena bayar. Jika komputer komputer riba tu rosak atau hilang, macam mana?

6. Benarkah program e-Buku ini untuk melonjakkan kecemerlangan akademik dan mengatasi masalah beg berat, atau ada agenda lain? Sekarang ini pun ada banyak makmal komputer yang dibina dan dibuka di sekolah yang tak dapat berfungsi dan dimanfaatkan sepenuhnya. Begitu juga dengan komputer peribadi dan LCD projector yang dibekalkan kepada guru, berapa ramai yang menggunakannya sewaktu pengajaran? Bagaimana pula dengan LCD projector yang dipasang dalam kelas, tak memadaikah untuk pengajaran?

Saya rasa soal lonjakan pendidikan, tidak ada kaitan dengan penggunaan buku teks atau tidak. Yang pentingnya bagaimana kita mendorong anak-anak kita tekun belajar. Adakah ibu bapa sendiri jelas tujuan mereka menghantar anak-anak ke sekolah? Dan adakah mereka juga memastikan anak-anak mereka jelas tujuan itu? Adakah sekolah dan guru-guru menjadi faktor yang berjaya menarik pelajar untuk datang ke sekolah setiap hari dan pendorong untuk pelajar tekun belajar?

Bahasa Penghantar Matematik dan Sains

May 16, 2008 pompetos Leave a comment

By Ainon Mohd.

Cara dan pedagogi mengajarkan bahasa Inggeris adalah amat berlainan daripada cara dan pedagogi mengajarkan logik matematik.

Ia juga amat berbeza dengan pedagogi mengajarkan maklumat sains dan mengajarkan kemahiran berfikir saintifik.

Orang politik di Kementerian Pelajaran nampaknya sudah sedar perkara asas ini. Angin kencang sedang bertiup mengatakan dasar bahasa penghantar  itu akan dibetulkan semula.

Pada saat ini para penerbit buku-buku teks sekolah sedang bersiap sedia, menunggu sahaja, bila-bila masa jikalau kerajaan tiba-tiba membuat pengumuman Bahasa Melayu akan dikembalikan menjadi bahasa pengantar mata pelajaran matematik dan sains di sekolah.

Masing-masing sudah mula mendapatkan penulis-penulis buku teks mereka supaya mula menyediakan manuskrip Bahasa Melayunya.

Sebagaimana yang dijangka, yang paling kuat menentang nanti adalah golongan berpendidikan Inggeris yang tinggal di bandar-bandar besar, tanpa mengira kaum. Baca apa mereka kata di sini.

Golongan kaya yang tinggal di bandar-bandar, baik mereka itu Cina, baik India, baik Melayu, Iban dan Kadazan, mereka mahukan bahasa Inggeris.

Golongan kaya adalah golongan yang terputus hubungan daripada golongan miskin dalam bandar, dan dengan penduduk di luar bandar.

Cina-cina kaya di bandar tidak peduli apa yang dialami oleh Cina-cina miskin di pekan-pekan kecil. India kaya di bandar tidak peduli apa yang berlaku dalam estet-estet. Begitu juga Melayu, Iban dan Kadazan kaya yang tinggal di bandar.

Golongan kaya hanya memikirkan diri mereka sahaja.

Golongan kaya adalah golongan bermentaliti kolonial.

Golongan kaya masih tidak sedar bahawa bahasa Inggeris telah, dan masih terus gagal memandaikan golongan miskin dalam bandar dan penduduk luar bandar di India, di Pakistan, di Bangladesh, di Sri Lanka, dan di seluruh benua Afrika, serta di Myanmar dan di Filipina.

Golongan kaya tidak sedar bahawa semua negara terkaya di dunia menggunakan bahasa masing-masing bagi mengajarkan sains dan matematik kepada kanak-kanak mereka.

Golongan kaya masih tidak sedar bukan sahaja bahasa Inggeris, malah bahasa-bahasa Sepanyol, Peranchis, German, Rusia, China, malah bahasa Arab juga, telah gagal memandaikan golongan miskin dan penduduk luar bandar, di mana-mana sahaja bahasa-bahasa kolonial itu dipaksakan ke atas bangsa-bangsa yang mereka jajah.

Golongan kaya yang menyokong bahasa Inggeris itu tidak membaca peta taburan kemiskinan di dunia, oleh itu mereka tidak tahu kaitan antara kemiskinan dan penggunaan bahasa kolonial dalam sistem pendidikan di negara-negara miskin itu.

Pedagogi pengajaran bahasa teramat berbeza daripada pedagogi pengajaran sains dan matematik.

Tidak ada sesiapa yang waras daya inteleknya yang menentang pengajaran dan pembelajaran bahasa-bahasa asing, bukan hanya bahasa Inggeris.

Malaysia mesti mengajarkan bahasa-bahasa asing itu dengan menggunakan strategi betul, sebab manfaatnya amat banyak. Tubuhkan universiti bahasa-bahasa asing (university of foreign languages seperti di China, Korea dan Jepun).

Sekolah-sekolah Malaysia hendaklah menawarkan subjek mata pelajaran bahasa-bahasa asing yang penting di dunia, bukan hanya bahasa Inggeris.

Kita mesti menawarkan subjek bahasa Mandarin di semua sekolah di negara ini sebab bahasa Mandarin akan, dan sedang, menjadi bahasa ekonomi dunia yang paling penting.

Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

“Jika seorang susah, kami turut merasakan kesusahannya”

May 12, 2008 pompetos Leave a comment

Suatu riwayat yang diceritakan oleh Dr Yusof al Qardhawy dalam kitabnya “Iman dan Kehidupan“, pernah terjadi dalam suatu peperangan, antara Muslimin dan musuhnya.

Dihadapan mereka terbentang sebatang sungai. Mereka diperintahkan oleh panglimanya, supaya menyeberangi sungai tersebut. Semua patuh kepada perintah dan terjun ke dalam sungai. Sedangkan pada masa itu musuh melihat mereka dari jauh dengan penuh kewaspadaan.

Sampai di pertengahan sungai, melihat mereka semua hilang dalam air, seolah-olah tenggelam. Dan secara tiba-tiba dengan serentak mereka semua terapung kembali di permukaan air. Setelah diperiksa, musuh telah mengetahui apa sebabnya kejadian yang ganjil itu.

Diketahuinya bahawa semasa menyeberangi sungai tersebut, salah seorang di antara mereka (tentera Muslimin) telah terjatuhkan pinggan makannya (piring) ke dalam air, lantas dia berteriak mengatakan : “piringku…piringku…!”

Lalu kesemua mereka menyelam ke dasar sungai untuk mencari piring yang jatuh itu sampai dapat.

Musuh yang memerhatikan hal itu berkata sesama mereka :”Kalau mereka sanggup berbuat begini untuk satu pinggan makan yang jatuh kepunyaan salah seorang di antara mereka, kita tidak tahu apa yang akan mereka lakukan kalau kita membunuh salah seorang dari mereka!”.

Akibatnya musuh menyerah kalah kepada tentera kaum Muslimin.

Inilah bentuk persaudaraan Islam yang telah ditunjukkan oleh umat terdahulu.. Bagaimanakah kita sekarang ini..

Categories: Minda Islam

Jalan-Jalan Syaitan

May 10, 2008 pompetos Leave a comment

Ketika manusia sibuk untuk mengalahkan musuhnya,sama ada musuh yang tak sealiran dengannya,musuh yang dibencinya,mereka lupa akan musuh mereka yang hakiki,yang tidak mereka sedari akan kehadirannya iaitulah syaitan dan tentera-tenteranya.

Syaitan merupakan musuh yang jelas diberitakan oleh Allah dalam al-Quran sepertimana firmanNya:

أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَا بَنِي آَدَمَ أَنْ لَا تَعْبُدُوا الشَّيْطَانَ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu hai Bani Adam supaya kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu” [Yassin[36]:60]

Ibnu kathir dalam Tafsirnya ketika mentafsirkan ayat ini berkata: Ini adalah celaan Allah kepada mereka yang mengingkariNya di kalangan bani Adam iaitulah mereka yang mentaati syaitan sedangkan syaitan adalah musuhnya yang nyata,dan mereka yang melakukan maksiat kepada Allah sedangkan Dialah yang menciptakannya dan mengurniakan rezeki kepadanya.

Jalan-jalan Syaitan

Syaitan telah berjanji di hadapan Allah bahawa dia akan menyesatkan dengan pelbagai bentuk cara dan keadaan,hakikat ini dirakamkan dalam al-Quran:

قَالَ فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ (16) ثُمَّ لَآَتِيَنَّهُمْ مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَنْ شَمَائِلِهِمْ وَلَا تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ (17)

16. Iblis menjawab: “Karena Engkau telah menghukum saya tersesat, saya benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus, 17. kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat).

Inilah janji iblis dan tentera-tenteranya iaitulah syaitan dikalangan jin dan manusia,mereka akan berusaha untuk menyesatkan manusia daripada jalan yang lurus.

وقوله: {ثم لآتينهم من بين أيديهم ومن خلفهم} الآية، قال ابن عباس: {ثم لآتينهم من بين أيديهم} أشككهم في آخرتهم {ومن خلفهم} أرعبهم في ديناهم {وعن أيمانهم} أشبه عليهم أمر دينهم {وعن شمائلهم} أشهي لهم المعاصي

Berkata Ibnu `Abbas r.a ketika mentafsirkan ayat di atas iblis datang dari muka(hadapan)manusia, bermaksud dia akan menimbulkan syak(keraguan)terhadap hari akhirat,dan dia datang dari belakang,iaitulah dia menakut-nakuti manusia dalam urusan agama mereka,ia datang dari kanan mereka iaitulah dia menimbulkan kesamaran pada urusan agama mereka dan ia datang dari kiri manusia iaitulah dia menjadikan lazat(membangkitakan)syahwat kepada mereka terhadap maksiat.

Berdasarkan huraian Ibnu `Abbas r.a kita mendapati beberapa cara yang digunakan oleh Iblis untuk menyesatkan manusia antaranya:

1. Menimbulkan syak(keraguan) terhadap hari akhirat.

Hari akhirat adalah termasuk dalam perkara-perkara berkaitan keimanan dan akidah.Praktikalnya,apabila iblis dan syaitan menyerang keyakinan kita akan hari akhirat,maka secara automatik keraguan akan timbul dalam hati kita.Ketika itu hilang dalam hati dan fikiran kita akan Maha Melihatnya Allah,malaikat,dosa dan pahala,syurga dan neraka.Apabila iblis dan syaitan berjaya menimbulkan keraguan dalam keimanan kita maka ketika itu,kita akan melakukan dosa dan perkara yang dilarang oleh Allah.Ketika itu kita sudah terjerat dalam perangkap iblis yang berjaya dengan rancangannya.Maka ketika itu,dosa dan maksiat seperti syirik,berzina,mengumpat,mendedahkan aurat,minum arak dan sebagainya dilakukan tanpa ada rasa bersalah.Hal ini berlaku kerana mereka tidak yakin dengan Allah dan berita-berita yang disampaikan oleh al-Quran seperti firmanNya:

أَلَا إِنَّهُمْ فِي مِرْيَةٍ مِنْ لِقَاءِ رَبِّهِمْ أَلَا إِنَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ مُحِيطٌ (54)

54. Ingatlah bahwa sesungguhnya mereka adalah dalam keraguan tentang pertemuan dengan Tuhan mereka. Ingatlah bahwa sesungguhnya Dia Maha Meliputi segala sesuatu.[Fusshilat: 54]

2. Menimbulkan kesamaran

Antara jalan yang digunakan oleh iblis dan syaitan untuk menyesatkan manusia ialah dengan menimbulkan kesamaran terhadap mereka antaranya ialah iblis menimbulkan kesamaran diantara yang halal dengan yang haram,yang boleh dengan tidak boleh yang disukai dan yang dibenci perkara yang boleh memasukkan ke syurga ataupun ke neraka.Hal ini boleh di atasi hanyalah dengan jalan menuntut dan mendalami ilmu agama berdasarkan al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w.Begitulah juga mereka yang bermudah-mudah menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah,mereka yang melakukan perkara sebegini jelaslah mereka telah berjaya diperdaya oleh Iblis dan tenteranya.

3.Membangkitkan syahwat(kelazatan) dalam perkara maksiat.

Wahai pemuda!,sesungguhnya inilah jalan yang paling banyak manusia terjerat dan terperangkap di dalamnya.Ketahuilah syahwat antara perkara yang paling mudah digunakan oleh iblis dan tentera-tenteranya untuk menyesatkan manusia.Kita lihat di zaman sekarang berapa ramai rakan-rakan kita yang terlibat dengan perzinaan,pelacuran dan sebagainya? Bagi kita yang menuntut ilmu agama turut tidak terlepas dari perangkap iblis dan syaitan ini.Permulaan syahwat ialah dengan pandangan mata,kemudian berpindah kepada fikiran yang membangkitkan angan-angan,kemudian tangan tak putus-putus bermesej dan tak cukup bermesej teringin pula nak bertemu dan apabila nafsu menguasai diri dan apabila syahwat dan perasaan menggantikan tempat iman maka berlakulah perkara yang dibenci oleh Allah…Sesungguhnya iblis telah berjanji bahawa dia akan menyesatkan kita dengan membangkitkan angan-angan kosong seperti dirakamkan dalam al-Quran:

وَلَأُضِلَّنَّهُمْ وَلَأُمَنِّيَنَّهُمْ

Dan aku akan benar-benar menyesatkan mereka,dan membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka..[an-Nisa`: 119]

Bagi kita penuntut agama hendaklah perkara sebegini diambil perhatian,kadang-kadang kita melihat sesuatu perkara itu sebagai baik padahal ianya adalah perangkap syaitan.Sesetengah mereka sangat suka mendengar lagu-lagu yang mengandungi lirik yang membangkitkan syahwat dan lagu yang melekakan kononya ianya dapat menenangkan perasaan padahal ianya hanyalah melalaikan dan menimbulkan angan-angan kosong.Sebahagian mereka pula merasa tidak malu apabila bertelanjang di hadapan manusia,sanggup menjadikan tubuh-tubuh mereka sebagai bahan tontonan di akhbar-akhbar dan majalah-majalah dan mereka merasakan perkara itu adalah baik bagi mereka.Sedangkan ianya hanyalah nikmat yang sementara.

4.Menakut-nakuti dalam urusan agama sehingga berputus asa dengan rahmat Allah.

Apabila Iblis dan syaitan berjaya menjerumuskan seseorang terhadap kemaksiatan terhadap kepada Allah maka dia tidak hanya berhenti di situ malah dia akan menakut-nakutkan mereka yang berdosa dengan dosa mereka sehinggakan dia membuatkan mereka yang berdosa akan berputus asa daripada untuk bertaubat kepada Allah,sedangkan Allah membukakan pintu taubat bagi sesiapa yang mengharapkan keampunan dan rahmatNya.Firman Allah s.w.t:

وَالَّذِينَ كَفَرُوا بِآَيَاتِ اللَّهِ وَلِقَائِهِ أُولَئِكَ يَئِسُوا مِنْ رَحْمَتِي وَأُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ (23

23. Dan orang-orang yang kafir terhadap ayat-ayat Allah dan pertemuan dengan Dia, mereka putus asa dari rahmat-Ku, dan mereka itu mendapat azab yang pedih [al-Ankabut: 23]

Dan Allah berfirman lagi:

وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (31)

Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung [an-Nuur: 31]

Dan Allah berfirman lagi:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ (53)

53. Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa[1314] semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. [ az-Zumar:53]

Daripada Abu Hurairah r.a katanya:Nabi s.a.w bersabda:

من تاب قبل أن تطلع الشمس من مغربها تاب الله عليه

Barangsiapa yang bertaubat sebelum matahari terbit dari sebelah barat maka Allah menerima taubatnya.

[Riwayat Muslim]

Dan daripada Abdullah ibnu Umar r.a katanya Nabi s.a.w bersabda:

إنّ الله عزّوجلّ يقبل توبة العبد ما لم يغرغر

Sesungguhnya Allah menerima taubat seseorang hambaNya selagi nyawanya belum sampai di kerongkongan.

Semoga dengan apa yang disampaikan ini dapat memperingati diri kita semua dan semoga kita digolongkan dalam golongan orang-orang yang bertaubat dan sentiasa menyucikan diri…

madrasahhadith.blogspot.com

Categories: Minda Islam

Isu 13 Mei : Menuju Kematangan Bangsa Malaysia

May 10, 2008 pompetos Leave a comment

Hidup dalam kelompok masyarakat yang berbilang bangsa dan agama merupakan suatu cabaran dalaman yang terbesar dan perlu dihadapi dengan sikap yang matang dan profesional. Kini, sudah lebih dari 50 tahun rakyat Malaysia menikmati hidup dengan aman dan makmur walaupun ada ketika rakyat berbilang bangsa ini pernah bercakaran dalam menuntut keadilan bangsa masing-masing.

Alasan yang paling umum yang mampu diberikan adalah, masyarakat pada zaman awal kemerdekaan rata-rata kurang berpendidikan atas faktor sosial dan juga ekonomi menyebabkan masing-masing mengambil tindakan yang boleh dianggap kurang bijak pada masa kini. Peristiwa hitam yang berlaku ini banyak mematangkan rakyat dan menjadikan rakyat semakin bijak apabila berhadapan dengan situasi seumpama ini. Rakyat kini lebih selesa untuk memilih meja rundingan sebagai medan penyelesaian dan menganggap keganasan bukan jalan penyelesaian terbaik.

Dalam berhadapan dengan situasi baru dunia politik di Malaysia ini, terdengar suara-suara yang kembali mengingatkan kita kepada peristiwa 13 mei apabila kerapkali isu berbentuk sentimen perkauman dilauangkan dimedia arus perdana. Hal ini merupakan sesuatu yang tidak sihat dan mencerminkan sifat politik “budak-budak” yang mana tidak mengambarkan sikap matang kita sebagai sebuah masyarakat yang menuju kepada pembentukan Negara maju. Isu ketuanan melayu begitu kerap dimainkan oleh sesetengah pihak yang mana telah menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pemimpin bukan Melayu sehingga Datuk Ong Tee Keat menimbulkan persoalan adakah ayat ketuanan ini mengambarkan bangsa Melayu sebagai tuan dan bangsa bukan Melayu lain sebagai hamba? (The Star, 9 Mei 2008)Ada juga pihak yang cuba menghidupkan api kemarahan bangsa melayu dengan bermain isu Melayu sudah kehilangan kuasa. Isu ini merupakan antara isu yang kerapkali dimainkan dimedia arus perdana sehingga boleh dikatakan hampir setiap hari ada sahaja isu berbentuk sentimen perkauman didada-dada akhbar. Apakah motif utama pihak yang seringkali memainkan isu ini? Apakah ada kebenaran dari sudut fakta terhadap segala isu yang dimainkan ini?

Sikap negatif yang mungkin amat sukar untuk dikikis pada setiap pecahan bangsa di Malaysia adalah sikap bersangka buruk terhadap bangsa lain. Bangsa melayu melihat bangsa lain di Malaysia sebagai ancaman terutama dari sudut ekonomi, manakala bangsa Cina melihat bangsa Melayu sebagai penindas kerana memiliki segala kelebihan. Sikap negatif ini sudah ditanam sejak kecil oleh keluarga dan juga masyarakat setempat. Hal ini tidak hanya terjadi pada masyarakat umum, tetapi juga pada golongan cerdik pandai walau bukan pada keseluruhannya. Dalam sesetengah situasi, ada benarnya telahan buruk ini. Namun secara realitinya, ia tidak mengambarkan keseluruhan sistem masyarakat berbilang bangsa di Malaysia. Saya merasakan, masalah yang berlaku ini bukan kerana kegagalan sistem masyarakat secara keseluruhan, tetapi kegagalan sistem penyampaian dan pelaksana bagi setiap hak bangsa-bangsa tertentu sehingga menimbulkan rasa tidak adil dan buruk sangka terhadap bangsa lain.

Pembentukan tamadun sebagai mana yang sering diperkatakan oleh pihak pemerintah amat berkait rapat dengan pembentukan masyarakat yang matang. Sarjana Islam, Sayyid Qutb menyatakan tamadun sebagai segala bentuk kemajuan politik yang dihasilkan oleh satu masyarakat seperti sistem sosial, pemerintahan, politik, ekonomi dan kebudayaan yang berteraskan syariat Allah SWT. Pembentukan tamadun amat menitik beratkan kematangan masyarakat agar mampu mendokong segala ciri-ciri seperti mana yang telah dinyatakan. Peristiwa 13 Mei telah mengajar bangsa Malaysia tentang kematangan dari sudut berfikir tentang keganasan bukan jalan penyelesaian, namun kematangan itu belum cukup sempurna jika masih ada sikap negatif seperti memperbesarkan isu-isu berbentuk provokatif, mengamalkan politik “budak-budak” dan bersangka buruk terhadap bangsa lain. Setiap bangsa seharusnya memainkan peranan dalam pembentukan sebuah bangsa Malaysia yang matang dan kematangan itu semestinya dicorak dengan nilai-nilai islam yang sememangnya sesuai dilaksanakan tanpa mengira bangsa dan juga agama.

Pengarah JAIP – MB – Sultan Perak

Setiap sesuatu di dunia ini ada undang-undang dan peraturannya. Undang-undang dan peraturan diwujudkan dengan tujuan untuk memastikan tidak berlakunya perkara-perkara yang diluar batasan dan menjamin kesejahteraan dan kefungsian hidup.

Jika kita amati, dunia ini beredar mengikut peraturan sunatullah. Manusia bergerak, bekerja, bermuamalat, munakahat semuanya di atas landasan peraturan dan undang-undang. Waima benda tidak bernyawa seperti komputer, kereta dan mesin basuh sekalipun, ada ‘set of rules’ dan undang-undang untuk memastikannya dapat beroperasi dengan baik. Begitu jugalah dengan hal yang lebih penting dan besar seperti aspek pemerintahan dan kepimpinan negeri dan negara.

Sebagai rakyat negeri Perak, penulis suka untuk mengulas sedikit mengenai isu yang di ‘jomheboh’ kan oleh media perdana negara berkaitan dengan pertukaran pengarah JAIP oleh MB Perak tempoh hari. Secara peribadi penulis merasakan kita perlulah merasakan husnul zan di dalam diri apabila membincangkan isu seperti ini dan menganggap perkara ini mempunyai pengajaran dan hikmah kepada setiap pihak yang terlibat.

Peranan Media Utama Negara

Hampir semua media utama (mainstream) meletakkan isu ini di headline selama 2-3 hari berturut-turut. Seolah-olah pergolakkan pemerintahan sedang berlaku di negeri Perak. TV3 misalnya menggunakan isu berkenaan hampir 10 minit di permulaan Buletin Utamanya malam 2 Mei 2008 dan stesyen tv yang sama hanya menyiarkan tak sampai 2 minit sewaktu titah ucapan Raja Muda Perak semasa keputeraan Sultan Perak beberapa minggu lalu, malah liputan itu hanya terselit di tengah timbunan isu-isu lain dan berita mengenai pengurniaan Datuk Seri kepada Menteri Besar Perak itu langsung tidak mendapat liputan. Nampaknya media utama negara kita ini kembali ke tahap asalnya iaitu ‘menyerang dan menyerang’ golongan selain dari BN.

Dato Jamry

Sebagai rakyat negeri Perak dan penjawat awam yang berkhidmat untuk rakyat, Dato Jamry hendaklah berlapang dada dan akur dengan setiap keputusan yang telah ditetapkan oleh kepimpinan negeri dan Kebawah Duli Sultan Perak. Sebarang kepentingan politik hendaklah di kesampingkan demi menjaga amanah rakyat dalam hal-ehwal agama Islam. Jawatan bukanlah sesuatu yang kekal menjadi hak milik peribadi atau hak golongan tertentu. Ianya satu amanah dan boleh bertukar milik. Kembalilah kepada kayu ukur Islam dalam berjawatan. Sebarang permasalahan hendaklah diselesaikan di meja perbincangan dan bukannya dijadikan isu di media untuk publisiti yang merugikan dan memalukan Melayu dan Islam.

Ingatlah hadith Nabi SAW, “Sesiapa yang diangkat oleh Allah Azzawajalla menjadi pemimpin dalam urusan orang-orang Islam, kemudian tidak disempurnakan keperluan-keperluan rakyat, maka Allah tidak akan menyempurnakan keperluannya, dan Allah akan menggantikannya dengan pemimpin yang lain” (Riwayat Abu Daud dan Al-Tarmizi).

Kebawah Duli Sultan Perak

Sebagai rakyat marhain, kita mengucapkan terima kasih di atas teguran dan keperihatinan Kebawah Duli Sultan Perak dan Raja Muda Perak di atas isu bersangkutan kepimpinan dan kemaslahatan Melayu-Islam. Teguran seperti ini amat perlu untuk memastikan pimpinan negeri yang telah diamanahkan oleh rakyat untuk mentadbir tidak terpesong dari etika dan landasan kebenaran perjuangan berpolitik. Kita amat mengharapkan agar suara dari istana akan lebih kerap kedengaran untuk mendepani usaha membela dan menjaga kesyumulan Islam di negeri Perak yang tercinta ini.

MB dan Kepimpinan Baru Negeri Perak

Kepada Menteri Besar Dato Seri Nizar, ini merupakan pengajaran yang amat bermakna sebagai pentadbir negeri supaya lebih berhati-hati dalam setiap tindakan yang ingin dilaksanakan, terutamanya hal-hal yang bersangkutan dengan keterlibatan pihak istana. Setiap sudut kesan yang terhasil dari tindakan ini perlulah dikaji. Ini untuk memastikan tindakan itu adalah adil dan saksama untuk semua rakyat sekaligus hubungan dengan istana terjalin dengan baik.

Fokus kerajaan perlulah lebih kepada membangunkan negeri daripada terlibat dengan isu-isu sensitif yang membuang masa, tenaga dan sokongan rakyat kepada kerajaan PR. Rakyat amat memahami bahawa terdapat banyak lompong dan ‘kecelaruan’ dalam urusan kerajaan terdahulu yang perlu diperbaiki oleh pimpinan sekarang. Namun ianya tidak seharusnya menjadi sebab untuk tidak melaksanakan dan membantutkan rencana pembangunan dan peningkatan taraf hidup rakyat di negeri Perak ini.

Minda kerajaan negeri juga perlu lebih besar, dengan wawasan dan gagasan yang besar tentang bagaimana untuk memajukan negeri Perak. Rakyat sehingga kini ternanti-nanti apakah perancangan kerajaan negeri untuk memastikan masa depan yang gemilang untuk rakyat Perak. Hala tuju dan konsep yang bagaimana mahu di acuankan kepada rakyat. Ini yang rakyat perak mahu dengar dan hadam dengan sebaik-baiknya. Ini yang orang luar mahu dengar jika mahu datang ke Perak. Ini yang pelabur asing mahu dengar tatkala sedang berkira-kira mahu melabur di Perak.

Akhirnya adalah menjadi harapan rakyat terbanyak untuk melihat kerajaan baru akan membawa negeri Perak ke arah yang baru, serba moden dan tadbir urus yang baik. Setiap perkara mempunyai peraturan dan dari peraturan akan membawa nilai. Kurangkanlah berpolitik kepartian melampau. Jalankanlah amanah dengan sebaik-baiknya wahai pimpinan negeri Perak Darul Ridzuan.

Soal Akhlak Perlu Diberi Penekanan Dalam Pendidikan

April 27, 2008 pompetos Leave a comment

KUALA LIPIS, 27 April (Hrkh) – Ahli Dewan Negara, Senator Muntaz Md Nawi mahu penekanan terhadap pendidikan kepada generasi muda diberi keutamaan bagi melahirkan pejuang Islam, muslimin dan muslimat yang mempunyai kekuatan akhlak sejajar dengan ajaran Islam.

Katanya, kecemerlangan di dalam pendidikan tanpa akhlak hanya akan memburukkan keadaan seperti yang berlaku kepada remaja pintar yang dibantu kerajaan Malaysia bernama Sufiah Yusof yang kini memilih jalan hidup sebagai pekerja seks di Britain.

Menurutnya, kejayaan di dalam pendidikan formal belum tentu akan melahirkan generasi yang berjaya dalam hidup.

Ini kerana terdapat kajian yang menunjukkan 20 peratus individu yang menempa kejayaan luar biasa di dalam hidup bukan terdiri daripada mereka yang cemerlang di dalam pendidikan formal, katanya.

Katanya lagi, terdapat juga kajian menunjukkan individu yang berjaya adalah individu yang mempunyai akhlak mulia.

Katanya, 80 peratus daripada kejayaan bergantung kepada akhlak. Justeru di antara perkara utama yang dibawa oleh Rasullulah s.a.w ialah menyempurnakan akhlak yang mulia.

“Di tangan kita, para ibu bapa, terutama muslimat terletaknya tanggung jawab untuk melahir dan mendidik generasi muda yang berakhlak mulia dan beriman,” ujarnya.