Archive

Archive for September, 2009

Ketidakpastian Yang Disengajakan (10 Malam Terakhir Ramadhan)

September 12, 2009 pompetos Leave a comment

oleh : Ustaz Hasrizal Jamil (Saifulislam.com)

ramadhan

Menanti sebuah malam.

Menanti atau mencari dan memburunya?

Lailatul Qadar adalah malam yang pasti datang. Jika menantinya itu hanya dengan sekadar berjaga malam, maka orang-orang yang bersekang mata tanpa berbuat apa-apa itulah yang beruntung dilintas kehadiran malam itu. Sesungguhnya ia bukan malam penantian, tetapi malam pemburuan dan pencarian.

Entahlah di malam 21, atau malam 23, atau malam-malam ganjil yang lain… Lailatul Qadar dianugerahkan. 9 Ramadhan yang ditempuh Rasulullah SAW di sepanjang hayat Baginda selepas pensyariatan ibadah puasa, menyebabkan riwayat-riwayat tentang Lailatul Qadar hanya tersimpul sebagai suatu anugerah yang diberi pada 10 malam terakhir Ramadhan itu.

“Mengapa tidak ditetapkan sahaja satu malam yang khusus bahawa itulah malam Lailatul Qadar?” ada yang bertanya.

“Anta cadangkan malam yang mana?” saya pun bertanya seada-adanya.

“Malam 27 barangkali” katanya.

“Maka beruntunglah penjual minyak tanah dan pelita untuk malam tujuh likur itu ya!” saya bergurau.

“Eh, ke situ perginya ustaz” kata beliau.

KEKELIRUAN E-BACAAN (ANTI HADITH)

Saya terbaca sebuah artikel yang dikarang di halaman web e-bacaan yang menolak hadith-hadith Nabi SAW termasuk hadith berkaitan Lailatul Qadar. Ulasan penulisnya mengatakan bahawa penantian atau pencarian Lailatul Qadar itu adalah sia-sia kerana kesemua hadith berkaitan, bertentangan di antara satu sama lain. Walhal hadith-hadith itu adalah himpunan dialog dan penjelasan Nabi SAW tentang Lailatul Qadar pada sekurang-kurangnya 9 kali ketibaan Ramadhan di sepanjang hayat Kerasulan Baginda SAW. Setiap hadith itu diungkapkan pada tahun-tahun yang berbeza, bukannya saling bertentangan seperti yang terfahamkan oleh golongan anti hadith ini.

Soalnya, bagaimana kalau ketidakpastian itu suatu kesengajaan? Ia bukan kejahilan tetapi ada rahsia besar di sebalik semuanya?

MAKAN GAJI VS KERJA SENDIRI

Lebih mudah untuk kita analogikan seorang yang makan gaji dengan seorang yang berniaga sendiri. Orang yang makan gaji, pendapatannya tetap setiap hujung bulan. Sama ada dirinya produktif atau tidak, hasilnya sama. Malah pada bulan Ramadhan ini, dengan membanyakkan tidur di pejabat dan pulang awal setiap hari, hasil pendapatan tetap sama. Sesuatu yang tetap dan pasti, rupa-rupanya boleh menjejaskan kesungguhan dan produktiviti, seiring dengan kurangnya rasa bersyukur atas kurniaan.

Berbeza pula dengan yang berniaga sendiri. Penghasilannya amat bergantung kepada kesungguhan, kerajinan dan produktiviti masing-masing. Kuat bekerja banyak hasilnya. Sedikit berusaha, terjejaslah pendapatannya.

Ketidakpastian adalah rahsia kesungguhan dan kerja keras yang diperlukan. Ketidakpastian + usaha keras = kemajuan, itu sifirnya.

Demikianlah hikmah sebuah ketidakpastian.

LIPATGANDA

30 hari yang terlalu panjang itu mungkin berat untuk sebuah pencarian. Justeru Islam memberitahu bahawa tingkatkan usaha mengejar Lailatul Qadar yang tidak pasti itu pada malam-malam 10 yang terakhir. Lantaran ia hadir pada malam-malam yang tidak ditentukan, manusia yang ada azam untuk berjaya akan melipatgandakan usaha untuk berhasil menemuinya. Malam Lailatul Qadar.

Kesungguhan itulah pelengkap proses Taqwa.

Kesungguhan yang diperlukan untuk sebuah kehidupan yang pasti ada jangka masa, tetapi persoalan bila itu dibiarkan sebagai sebuah ketidakpastian. Mati itu tentu, masanya tidak pasti. Antara ketentuan dan ketidakpastian ajal, seorang mukmin memajukan sebuah kehidupan.

Memikirkan peluang beramal berakhir pada jangka waktu yang tidak pasti, Nabi SAW memberi ingatan kepada kita agar mengerjakan solat dengan “SOLAT PERPISAHAN”. Bayangkan setiap solat yang didirikan sebagai solat terakhir kita, kerana mati itu tidak pasti. Kerana kita mati sentiasa di antara dua solat…

Ketidakpastian yang mendesak kesungguhan juga perubahan.

“Jibril datang kepadaku dan berkata, ‘Wahai Muhammad, siapa yang menjumpai bulan Ramadhan, namun setelah bulan itu habis dan ia tidak mendapat ampunan, maka jika mati ia masuk Neraka. Semoga Allah menjauhkannya. Katakan: Amin!. Aku pun mengatakan: Amin! ” (HR. Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dalam Shahihnya)

Allah Tidak Jauh, Doa Sentiasa Mustajab

September 6, 2009 pompetos Leave a comment

Oleh : Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (drmaza.com)

ANTARA tanda kasih sayang dan rahmat Allah kepada hamba-hamba-Nya adalah Dia tidak mewujudkan sebarang halangan untuk seorang hamba memohon kepada-Nya. Insan diperintahkan berhubung langsung dengan Allah tanpa sebarang ‘broker’ dalam hubungan yang suci itu. Tiada sebarang perantaraan antara Allah dan hamba-hamba-Nya.

Islam menolak segala unsur keberhalaan yang menjadikan makhluk sebagai tuhan jelmaan menggantikan tuhan yang hakiki. Islam menganggap perbuatan memohon kemakbulan doa dari makhluk adalah syirik. Tidak kira siapa pun makhluk itu. Sama ada dia nabi ataupun wali.

Seorang muslim tidak diizinkan pergi ke kubur mereka dan menyeru: wahai fulan tolonglah saya! Atau: Wahai nabi tolonglah tenteramkan jiwa saya! Atau: Wahai wali sembuhkanlah penyakit saya!

Perbuatan itu adalah syirik. Mukmin hanya meminta doa daripada Allah. Firman Allah: (maksudnya)

Dan tiada yang lebih sesat dari orang yang menyeru selain Allah, yang tidak dapat menyahut seruannya sehinggalah ke hari kiamat, sedang mereka (makhluk-makhluk yang mereka sembah itu) tidak dapat menyedari permohonan tersebut. Dan apabila manusia dihimpunkan (untuk dihitung amalan pada hari akhirat), segala yang disembah itu menjadi musuh (kepada orang-orang yang menyembahnya) dan membantah mereka (surah al- Ahqaf: 5-6).

Firman Allah: (maksudnya) :

Allah jua yang memasukkan malam kepada siang dan memasukkan siang kepada malam (silih berganti), dan Dia yang memudahkan peredaran matahari dan bulan; tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Yang melakukan semuanya itu ialah Allah Tuhan kamu, bagi-Nyalah kuasa pemerintahan; sedangkan mereka yang kamu sembah selain Allah itu tidak mendengar permohonan kamu, dan kalaulah mereka mendengar pun, mereka tidak dapat memperkenankan pemohonan kamu; dan pada hari kiamat pula mereka mengingkari perbuatan syirik kamu. Dan (ingatlah) tiada yang dapat memberi tahu kepadamu (Wahai Muhammad, akan hakikat yang sebenarnya) seperti yang diberikan Allah Yang Maha mendalam pengetahuan-Nya (surah Fatir: 13-14).

Maka perbuatan memohon selain Allah, sama ada menyeru berhala secara terang atau memanggil nama para wali seperti Abdul Qadir al-Jailani atau wali ‘songo’ atau apa sahaja termasuk dalam kerja-kerja syirik yang diharamkan oleh nas- nas al-Quran dan al-sunah.

Nabi s.a.w. begitu menjaga persoalan akidah ini. Daripada Ibn ‘Abbas:

“Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w: “Apa yang Allah dan engkau kehendaki.” Maka baginda bersabda kepadanya: Apakah engkau menjadikanku sekutu Allah, bahkan (katakan): apa yang hanya Allah kehendaki. (Riwayat al-Imam Ahmad dinilai sahih oleh Al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, 1/266).

Bandingkanlah ketegasan Nabi ini dengan ajaran sesetengah guru tarekat atau sufi yang mencetuskan segala unsur keajaiban pada diri mereka agar dikagumi oleh pengikutnya. Akhirnya, mereka seakan Tuhan yang disembah, atau wakil Tuhan yang menentukan penerimaan atau penolakan amalan pengikutnya. Bahkan untung rugi nasib masa depan pengikut pun seakan berada di tangan mereka.

Demikian juga, pengikut yang melampau, berlebih-lebihan memuja tokoh agama, akhirnya boleh terjerumus kepada kesyirikan. Terlampau memuja tokoh seperti itulah yang menyebabkan banyak individu dianggap keramat dan suci sehingga dipanggil ‘tok keramat’ lalu mereka seakan dimaksumkan. Kemudian, datang pula orang-orang jahil ke kubur mereka membayar nazar atau meminta hajat mereka ditunaikan. Sehingga apabila saya ke Urumuqi di China, ada satu gua yang kononnya dianggap tempat Ashabul Kahfi yang disebut dalam al-Quran itu.

Ramai yang pergi melakukan kesyirikan dengan meminta hajat di situ. Saya beritahu bahawa dalam dunia ini entah berapa banyak gua yang didakwa kononnya tempat Ashabul Kahfi. Ada di Turki, Jordan dan lain-lain. Semuanya dakwaan tanpa bukti. Sama juga kononnya tempat-tempat sejarah nabi yang didakwa oleh sesetengah pihak. Tiada petunjuk yang dapat memastikan ketulenannya.

Jika pun benar, mereka bukan tuhan untuk seseorang meminta hajat. Inilah yang terjadi kepada Nabi Isa. Dari seorang nabi yang diutuskan, akhirnya manusia menabalkannya menjadi anak Tuhan. Meminta hajat daripada orang-orang agama atau soleh setelah mereka mati adalah syirik. Islam tidak kenal perkara seperti itu. Islam tulen bebas dari segala unsur kebodohan tidak bertebing itu.

Ada yang cuba membela dengan menyatakan: bukan apa, mereka ini ialah orang yang dekat dengan Allah, kita ini jauh. Maka kita gunakan perantaraan mereka. Macam kita hendak dekat dengan menteri atau raja. Saya kata kepada mereka: Adakah awak menganggap Allah itu sama dengan tabiat raja atau menteri awak? Dakwaan inilah yang disanggah oleh al-Quran sekeras-kerasnya.

Firman Allah: (maksudnya):

Ingatlah! Hanya untuk Allah agama yang bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung itu berkata: “Kami tidak menyembah mereka (tuhan-tuhan palsu) melainkan untuk mendekatkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”. Sesungguhnya Allah akan menghukum antara mereka tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan- bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik) (al-Zumar:3).

Setelah Allah menceritakan tentang bulan Ramadan dan kewajiban puasa, Allah terus menyebut kemustajaban doa. Ia menunjukkan adanya kaitan yang kuat antara puasa Ramadan dan janji Allah untuk memustajabkan doa hamba-hamba-Nya. Allah berfirman (maksudnya):

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat petunjuk (surah al-Baqarah: 186).

Demikian, Allah itu sentiasa hampir dengan kita, mendengar dan memperkenankan doa kita. Sesiapapun boleh sampai kepada-Nya. Tiada pengawal atau orang tengah yang menghalang seorang hamba untuk merintih dan merayu kepada Tuhannya. Siapapun hamba itu. Apa pun bangsanya dan apa pun bahasa doanya. Apa pun sejarah buruk dan baiknya. Tuhan sentiasa sudi mendengar lalu memustajabkan pemohonan mereka dengan cara yang dikehendaki-Nya. Bertambah banyak hajat dan permohonan seorang hamba, bertambah kasih dan dekat Allah kepadanya.

Amat berbeza dengan tabiat makhluk yang lemah ini. Walau bagaimana baik pun seseorang dengan kita, namun jika kita terlalu meminta, perasaan jemu dan bosan akan timbul dalam jiwanya. Allah Maha Suci dari demikian. Dia menyuruh kita berdoa dan membanyakkan doa. Ini kerana doa adalah lambang kehambaan diri kepada zat yang Maha Agung. Firman Allah (maksudnya):

Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat (berdoa kepada-Ku) akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina (surah Ghafir: 60).

Seseorang kadangkala tidak perasan bahawa apabila dia berdoa kepada Allah sebenarnya dia sedang melakukan ibadah yang besar. Walaupun pada zahirnya kelihatan dia sedang memohon untuk kepentingan diri sendiri, namun hakikatnya dia sedang membuktikan keikhlasan tauhidnya kepada Allah dan ketundukan kepada Tuhan Yang Sebenar. Maka dengan itu Nabi menyatakan: Doa itu adalah ibadah. (Riwayat Abu Daud dan al- Tirmizi, sahih). Jika sepanjang malam seorang hamba berdoa kepada Allah, bererti sepanjang malam dia melakukan ibadah yang besar.

Doa sentiasa diterima oleh Allah. Jika ada yang kelihatan tidak diterima, mungkin ada beberapa faktor yang mengganggu. Mungkin pemohonan itu tidak membawa kebaikan jika dimustajabkan. Allah Maha Mengetahui. Seperti hasrat kita ingin mengahwini seseorang yang kita suka, lalu kita berdoa agar Allah menjadikan dia pasangan kita. Allah lebih mengetahui jika itu tidak baik untuk kita lalu Allah memilih untuk kita pasangan yang lain. Atau Allah memustajabkan doa orang lain yang lebih dikehendaki-Nya. Atau Allah memustajabkan doa calon berkenaan yang inginkan orang lain. Segalanya mungkin.

Namun doa tidak sia-sia. Pahala tetap diberikan, kebaikan yang lain pula akan diganti di dunia dan di akhirat. Sabda Nabi:

“Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: sama ada disegerakan kemakbulan atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepandan dengannya.” (Riwayat Ahmad, al-Bazzar dan Abu Ya‘la dengan sanad yang sahih).

Maka, ada doa kita kepada Allah diterima olehnya di dunia. Ada yang tidak diberi disebabkan hikmat yang Allah lebih mengetahuinya, lalu disimpan doa itu di sisi-Nya untuk diberikan pada hari akhirat dengan yang lebih baik dan lebih utama untuk kita. Atau doa itu ditukar dengan kebaikan-kebaikan yang lain seperti diselamatkan kita dari pelbagai bahaya yang sebahagian besarnya tidak pernah diduga.

Betapa banyak keberbahayaan yang menimpa orang lain, tetapi kita diselamatkan oleh Allah. Tidak juga kerana permohonan kita dalam perkara tersebut atau kebijaksanaan kita, namun barangkali doa kita dalam perkara yang lain, lalu diberikan gantian keselamatan untuk kita dalam perkara yang tidak diduga.

Kadangkala Dia tidak memberikan kepada kita sesuatu permohonan disebabkan rahmat-Nya kepada kita. Barangkali ingin menyelamatkan kita. Dia Maha Mengetahui, jika diberikan, mungkin kita hanyut atau menempuh sesuatu yang merugikan kehidupan di dunia atau akhirat. Kita pun demikian.

Bukan bererti apabila seorang bapa tidak tunaikan kehendak anaknya tanda kebencian terhadapnya. Bahkan sebahagian besarnya kerana kasih sayang dek bimbang jika diberikan akan mendatangkan kemudaratan. Maha Suci Allah untuk dibandingkan dengan kita semua, namun yang pasti rahmat-Nya sentiasa melimpah. Jika Dia menangguhkan doa kita, tentu ada hikmah-Nya.

Di samping itu hendaklah kita faham, doa itu bermaksud permohonan. Seorang yang berdoa mestilah bersungguh-sungguh dalam doanya. Maka tidaklah dinamakan berdoa jika tidak faham apa yang kita doa. Sebab itu saya amat hairan dengan sesetengah orang yang berdoa tanpa memahami maksud. Sesetengah mereka menghafal teks Arab kerana hendak menjadi ‘tekong’ doa dalam pelbagai majlis.

Malangnya, ada yang tidak faham apa yang dibaca dan yang mengaminkan pun sama. Ada orang merungut, kata mereka, umat Arab di Masjidilharam dan Masjid Nabawi tidak baca doa selepas solat beramai-ramai. Itu menunjukkan mereka tidak kuat pegangan Islam mereka. Saya katakan: Islam tidak diturun di kampung halaman kita, ia diturunkan di Mekah dan Madinah. Mereka melakukan apa yang menjadi amalan Rasulullah. Lagipun seseorang yang bersolat disuruh berdoa ketika dalam solat dan berwirid selepasnya.

Dalam hadis, kita diajar agar berdoa ketika sujud dan selepas membaca tasyahud sebelum salam. Di situlah antara waktu mustajabnya doa. Sabda Nabi:

“Paling dekat hamba dengan tuhannya adalah ketika sujud, maka banyakkan doa ketika sujud.” (Riwayat Muslim).

Nabi memberitahu tentang doa selepas tasyahud sebelum memberi salam dalam solat:

“Berdoalah pasti mustajab, mintalah pasti akan diberikan.” (Riwayat al-Nasai, sanadnya sahih).

Bukan bererti orang yang kita tengok tidak mengangkat tangan berdoa kuat beramai-ramai selepas solat itu tidak berdoa. Kita yang barangkali kurang faham sedangkan mungkin mereka berdoa dalam solat melebihi kita. Jika seseorang berdoa selepas memberi salam, tentulah dalam banyak hal, hajat makmum dan imam tidak sama. Maka jangan marah jika kita lihat orang berdoa bersendirian.

Nasihatilah mereka yang membaca doa tanpa faham maksudnya, atau mengaminkan tanpa mengetahui isinya. Lebih menyedihkan, kadangkala doa dibaca dengan nada dan irama yang tidak menggambarkan seorang hamba yang sedang merintih memohon kepada Allah. Sebahagian nada itu, jika seseorang bercakap kepada kita dengan menggunakannya pun kita akan pertikaikan. Layakkah nada seperti itu sebagai doa kepada Allah yang Maha Agung?

Benarlah sabda Rasulullah:

“Berdoalah kamu kepada Allah Taala dalam keadaan kamu yakin akan dimustajabkan. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai dan alpa.” (Riwayat al-Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani).

Pelajari kita nas-nas agama tentang doa kerana ianya amat penting bagi kehidupan dunia dan akhirat kita.

Kemenangan DPJ di Jepun: 4 Pengajaran untuk Pakatan Rakyat

September 4, 2009 aukauk88 Leave a comment

Oleh : Nik Nazmi Nik Ahmad.

2328879637_c0d2e376ff

Baru-baru ini Parti Demokratik Jepun (DPJ) mencipta sejarah apabila memenangi pilihan raya umum Jepun menewaskan Parti Liberal Demokrat (LDP) yang memerintah Jepun hampir terus-menerus selama lima dekad.

DPJ sebuah parti muda, yang dibentuk kira-kira sedekad lalu dan menghimpunkan suatu gabungan besar terdiri daripada bekas anggota LDP dan beberapa parti kecil sosok kiri dan tengah yang lain.

Di Asia, sejarah sama turut tercipta beberapa kali — kekalahan Parti Kongres kepada Parti Bharatiya Janata (BJP) pada 1998 di India; kekalahan Parti Kuomintang kepada Democratic Progressive Party di Taiwan pada 2000; kekalahan Grand National Party kepada Millennium Democratic Party di Korea Selatan pada tahun 1997; dan kekalahan Golkar di Indonesia pada 1999.

Bagi penyokong Pakatan Rakyat di Malaysia, kemenangan tersebut diikuti dengan dekat kerana persamaan senario di Malaysia dan Jepun: UMNO, seperti LDP telah mentadbir negara lebih lima dekad; Pakatan Rakyat, seperti DPJ lahir dari gerakan politik sedekad lalu (apabila Keadilan ditubuhkan dan turut sama dengan PAS, DAP dan PRM menubuhkan Barisan Alternatif) dan menghimpunkan gerakan politik dari pelbagai kumpulan sosok tengah dan kiri.

Coraknya sama — parti memerintah yang lama dan memainkan peranan dalam pembinaan negara pada peringkat awal mula kelihatan lemah serta ketandusan idea selepas sekian memegang kuasa. Perjuangan mula dilupakan dan rasuah mengambil tempat. Di sesetengah negara seperti Indonesia, Korea dan Taiwan, pemerintahan parti tunggal menyempitkan ruang demokrasi.

Malah di negara-negara lain pun, kemenangan besar atau pemerintahan yang lama semuanya menyumbang kepada kealpaan pemerintah — sama seperti pemerintahan George W. Bush bagi Parti Republikan di Amerika dan Parti Konservatif di Britain antara 1979-1997 dan kini digantikan Parti Buruh.

Sebab itu sistem demokrasi memberikan ruang untuk rakyat menukar tampuk pemerintahan, sebagai usaha menyegarkan suasana politik. Walaupun parti yang lama memerintah cenderung mencari jalan mengukuhkan kedudukan mereka dan menyempitkan ruang demokrasi, tetapi mereka tidak dapat menentang kuasa rakyat selama-lamanya.

Maka selepas perubahan lanskap politik negara menerusi Pilihan Raya Umum ke 12 pada 8 Mac 2008, ramai yang menantikan PRU 13 sama ada Pakatan Rakyat mampu menewaskan BN di peringkat Persekutuan.

Baru-baru ini Mohd Khuzairi Ismail dalam rencana “Revolusi Politik Jepun” di Utusan Malaysia mengulas kemenangan DPJ di Jepun. Walaupun mengakui proses pertukaran kerajaan malah gelombang 8 Mac di Malaysia sebagai sebahagian proses kematangan sesebuah demokrasi, beliau berhujah bahawa Malaysia belum bersedia kerana kita belum mencapai negara maju. Kerajaan sedia ada perlu kekal bagi membasmi kemiskinan.

Hujah ini agak pelik memandangkan sekiranya sesebuah kerajaan gagal menyelesaikan masalah kemiskinan selepas lebih 50 tahun memerintah, bukankah itu menggambarkan kita perlu kerajaan baru? Negara-negara seperti Taiwan dan Korea semuanya dahulu berada pada tahap ekonomi kita pada tahun 1960, tetapi sudah pun memintas kita. Hujah ini mirip pandangan bahawa kerana di dalam beberapa aspek sasaran DEB belum tercapai, maka kita terus memerlukan DEB. Saya fikir hujah yang lebih kuat adalah kita perlu pendekatan baru bagi mencapai sasaran tersebut kerana jelas pendekatan sedia ada tidak berjaya.

Kita juga boleh melihat contoh India, demokrasi terbesar di dunia yang juga mempunyai ramai penduduk miskin. Pertumbuhan ekonomi India hari ini diasaskan oleh Manmohan Singh sebagai Menteri Kewangan daripada Parti Kongres pada 1991. Sekalipun Kongres tewas kepada BJP tujuh tahun kemudian, pertumbuhan ekonomi India berterusan, dan masih lagi kukuh hari ini selepas Kongres mengambil alih semula pucuk pimpinan India dan Manmohan menjadi Perdana Menteri. Masyarakat miskin India jauh lebih ramai berbanding Malaysia, tetapi pertukaran politik sebanyak dua kali masih mengekalkan pertumbuhan ekonominya yang mengkagumkan.

Kerajaan yang waras akan mengekalkan dasar yang bermanfaat untuk negara, dan memperbaiki kelemahannya, tanpa mengira parti. Di Selangor contohnya, projek-projek pembangunan berterusan tetapi dasar pembangunan negeri diimbangi dasar Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor bagi membolehkan rakyat Selangor berkongsi kekayaan. Kita meningkatkan garis kemiskinan bagi membolehkan pihak yang perlukan bantuan memperolehnya.

Daripada banyak perubahan yang berlaku di seluruh dunia, ada beberapa pengajaran penting untuk Pakatan Rakyat:

a.    Perpaduan: Kejayaan Tony Blair pada 1997 dan kini David Cameron di Britain adalah kebolehan mereka menyatupadukan parti mereka yang sebelum ini berpecah-belah. Oleh itu Pakatan Rakyat mesti mengurangkan beberapa insiden kebelakangan ini yang memberi gambaran seolah-olah Pakatan Rakyat tidak bersatu-padu. Persetujuan pucuk pimpinan Pakatan Rakyat dapat dihayati oleh ahli dan pemimpin setiap peringkat agar benar-benar berkesan.

b.    Agenda yang jelas dan diyakini: DPJ di Jepun menawarkan agenda yang jelas kepada rakyat Jepun. Walaupun ada pihak yang mempertikaikan dasar tersebut bersifat populis, tetapi pendekatan mereka menangkap imaginasi rakyat. Keadilan pada 2008 menawarkan lima janji Anwar yang juga populis dan berkesan, tetapi cabaran pada PRU 13 dengan adanya Pakatan Rakyat adalah agenda bersama Pakatan Rakyat yang jelas. Kelebihan kita berbanding dahulu adalah adanya kerajaan-kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat yang boleh dijadikan contoh perbezaan kita berbanding BN. Agenda tersebut mestilah melangkaui ideologi sempit, tetapi mudah difahami rakyat.

c.    Meyakinkan pihak terlibat (stakeholder):  Perubahan kepada kerajaan yang lama memerintah pasti merisaukan pihak terlibat sama ada kakitangan awam, institusi kerajaan mahupun golongan peniaga. Parti Konservatif di Britain misalnya memberi jaminan akan mempertahankan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain bagi menolak imej ekstrim kanan mereka. Ketua DPJ, Yukio Hatoyama menulis esei di New York Times bagi meyakinkan masyarakat antarabangsa tentang agenda DPJ yang dilihat anti pasaran dan anti Amerika. Pakatan Rakyat perlu menjelaskan kepada institusi kerajaan dan kakitangan awam tentang tekad memelihara muafakat Perlembagaan serta hubungan baik dengan golongan pelabur dan peniaga.

Kita juga boleh mempertimbangkan cadangan Dato’ Nazir Razak di the Edge agar diperkenalkan pengampunan bagi rasuah, cuma saya merasakan garis pemisahnya bukan hanya masa tetapi saiz rasuah tersebut. Dengan ini anggota institusi kerajaan yang risau akan kedudukan mereka akan dapat diyakinkan bahawa sekiranya kesalahan mereka kecil, mereka tidak akan diburu dan dihukum dengan syarat selepas tarikh yang ditetapkan mereka tidak lagi mengulangi perkara tersebut.

d.    Penampilan tokoh-tokoh muda dan berwibawa: Kelemahan parti yang terlalu lama memerintah ialah wujudnya kabilah-kabilah yang berkepentingan dan tokoh-tokoh lama yang membolot kuasa, lantas memberikan imej yang hambar. Penampilan tokoh-tokoh muda dan berwibawa memberi imej segar, sebagaimana DPJ di Jepun, Parti Buruh di Britain pada 1997, MDP di Korea dan juga Pakatan Rakyat pada PRU 12. Namun di sebalik kejayaan tersebut, kita juga melihat beberapa calon yang kurang kredibiliti turut menang. Justeru pada PRU 13 Pakatan Rakyat mesti terus mencari calon-calon baru yang muda di samping memastikan mutu calon jauh lebih baik berbanding sekarang.

Saya percaya empat pengajaran ini penting bagi Pakatan Rakyat melakari perubahan sama seperti di Jepun, Korea, India , Taiwan dan Indonesia. Rakyat Malaysia usah risau, sekiranya kita gagal, sistem demokrasi yang digunakan untuk memenangkan kami juga boleh menghukum kami. Di Korea, India dan Taiwan, parti-parti lama kembali merampas kuasa. Itulah realiti sistem demokrasi.

Nik Nazmi Nik Ahmad merupakan ADUN Seri Setia, Selangor dan turut menjawat Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor serta Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia. Beliau menulis blog di www.niknazmi.com. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi.

Original Post from Malaysian Insider :

themalaysianinsider-com P1

Antara Kesempitan Perkauman Dengan Keluasan Prinsip Islam

September 3, 2009 pompetos Leave a comment

by : S.S. Dr. Maza

Sejak kebelakangan ini tepikan slogan membela bangsa kedengaran hebat sekali. Soal warisan bangsa, semangat dulu kala dan cerita datuk nenek lama dibangkitkan semula. Keris yang disimpan mungkin ada yang ingin kembali menciumnya, sirih pinang mungkin ada yang ingin kembali mengunyahnya, zapin dan joget mungkin ada yang ingin kembali ditarikannya.

Terpulanglah, namun apa yang perlu diingat, perjuangan bangsa itu jauh lebih sempit dari perjuangan membela prinsip Islam yang bersifat sejagat lagi adil untuk semua. Tidak salah perjuangan ingin menolang bangsa sendiri. Namun adalah salah jika ia bertukar menjadi semangat perkauman yang boleh membawa kepada dizalimi pihak yang lain.

Nabi s.a.w sendiri memuji sikap tolong menolong sesama kaum. Baginda s.a.w pernah bersabda: “Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Namun baginda juga memberikan amaran kepada sikap ‘asabiyyah iaitu perkauman atau berpuak yang membawa kepada kezaliman. Baginda bersabda: “Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (Riwayat Muslim).

Rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) adalah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil, namun membela atas dasar ketaksuban.

Apakah bezanya antara keluasan prinsip Islam dengan kesempitan perkauman? Jawapannya secara umum; seseorang yang dilahirkan berbangsa melayu, tidak mampu menukar dirinya menjadi arab. Seorang yang dilahirkan berbangsa cina tidak mungkin dapat menjadi melayu. Seseorang yang dilahirkan berbangsa india tidak mungkin mampu menukar dirinya menjadi cina.

Walaupun mungkin dia boleh menyamar, atau membuat tafsiran yang berbagai dalam menukar identiti dirinya, namun hakikat diri dari segi nasab keturunan tidak mungkin dapat diubah. Hal ini berbeza dengan soal pegangan akidah Islam. Di mana, seseorang walaupun apa bangsanya, boleh menjadi muslim lagi mukmin. Bahkan dia boleh mejadi muslim yang terbaik, walaupun dia daripada bangsa paling hina pada pandangan masyarakat, tetapi Islam tidak mendiskriminasikannya.

Maka, Bilal bin Rabah r.a. seorang yang berkulit hitam, berasal dari status hamba abdi yang dihina telah menduduki tempat yang tinggi dalam Islam. Sehingga setiap muslim apabila menyebut sahaja azan untuk solat akan teringat sejarah Bilal yang bertugas sebagai muazzin (tukan azan) Nabi s.a.w. Sehingga orang melayu memanggil ‘tok bilal’ kepada tukang azan.

Sabda Nabi s.a.w: “Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuailah! Tiada kelebihan orang arab ke atas a’jam (yang bukan arab), atau a’jam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Maka perjuangan yang hanya terhad untuk membela sesuatu bangsa cuma, amatlah sempit dan terbatas. Ia perjuangan yang tidak dapat dikongsi kebaikannya oleh kaum yang lain sekalipun keadaan mereka sama.

Umpamanya, perjuangan untuk membela fakir miskin bangsa tertentu tidak dikongsi kebaikannya oleh bangsa yang lain, sekalipun kemiskinan mereka itu sama. Bahkan kadang-kala ia boleh bertukar menjadi perkauman yang amat sempit dan mengorbankan berbagai pihak atas sentimen kepuakan.

Namun jika kemiskinan cuba dilangsaikan atas nama prinsip Islam, sesiapa saja yang miskin ada hak yang boleh diperolehi sedekah Islam –temasuk dari zakat wajib dan wang baitul mal- walau siapapun keturunannya, bahkan walaupun berbeza agama, selagi dia seorang miskin.

Di sudut ikatan nasab pula, seorang cina atau melayu atau india tidak boleh menjadi arab, tetapi mereka boleh menjadi Islam. Apatah lagi, prinsip-prinsip Islam itu mementingkan keadilan tanpa pernah mengenal batasan warna kulit, rupa dan kedudukan.

Firman Allah (maksudnya): Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah al-Hujurat: 13).

Maka, orang melayu jika mereka hendak mulia, bukanlah dengan inang dan zapin, atau mak yong dan joket, tidak juga institusi raja atau adat, tetapi menegakkan prinsip-prinsip Islam yang tulen.

Bukan bererti saya menyeru agar dihapuskan identiti kaum, adat dan budaya mereka. Tidak! Sama sekali tidak! Jika adat dan budaya tidak bertentangan dengan Islam boleh diteruskan. Namun, kemuliaan insan yang hakiki tidak dapat dicapai hanya di atas semangat puak atau bangsa, sebaliknya dengan menjunjung prinsip-prinsip Islam.

Persis seperti apa yang Allah ingatkan suku Aus dan Kharaj di Madinah. Firman Allah: (maksudnya) “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulunya bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara jantung hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara (persaudaraan Islam). Dan kamu dahulunya berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu darinya (disebabkan nikmat Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. (Surah Ali ‘Imran ayat 103).

Kata al-Imam Qatadah al-Sadusi (meninggal 118H) lebih seribu tiga ratus yang lalu kepada orang arab: “Dahulunya bangsa arab ini manusia yang paling hina, paling buruk kehidupannya, paling sesat, paling kurang pakaian dan paling lapar. Dicengkam antara dua singa; Parsi dan Rum.

Demi Allah! Tiada di tanahair arab apa yang memboleh orang lain iri hati kepada mereka. Sesiapa yang hidup di kalangan mereka, hidup dalam keburukan dan yang mati pula, binasa dan dibuang ke dalam api. Mereka dimakan, mereka tidak memakan.

Demi Allah! Kita tidak tahu adanya bangsa di bumi ini pada masa itu yang paling rendah dan lekeh daripada mereka. Sehinggalah Allah membawa Islam kepada kamu (wahai orang arab!). Allah bekalkan kepada kamu al-Quran, Dia membuka kepada kamu bumi jihad, Dia meluaskan untuk kamu rezeki, Dia jadikan kamu memerintah manusia.

Dengan Islamlah Allah berikan kepada kamu apa yang sedang kamu lihat. Bersyukurlah terhadap nikmat-nikmatNya kerana tuhan kamu pemberi nikmat yang sukakan mereka yang bersyukur. Mereka yang bersyukur pula sentiasa mendapat tambahan”. ( Al-Tabari, Tafsir al-Tabari –tahziban- 2/349, Damsyik: Dar al-Qalam).

Sebelum itu, saya selalu ulangi apa yang ‘Umar bin al-Khattab ucap ketika membuka Baitul Muqdis, setelah umat Islam berjaya membebaskan kota suci itu: “Kita dahulunya adalah kaum yang hina, Allah telah memuliakan kita dengan Islam, andainya kita mencari kemuliaan selain dari apa yang telah Allah muliakan kita dengannya maka kita akan dihina oleh Allah”. Riwayat ini sanadnya dikatakan sahih oleh al-Hakim dan disokong oleh al-Zahabi (Al-Hakim, al-Mustadrak, 1/237, Beirut: Dar al-Ma’rifah).

Maaf jika saya sebutkan, apalah sangat yang hendak dibanggakan dengan bangsa melayu jika dilihat pada realiti hari ini secara perbandingan? Kita bukan yang paling berjaya dalam ekonomi, tidak juga dalam pelajaran akademik. Bahkan politik melayu pun dalam banyak keadaan telah mengorban bangsa sendiri.

Orang lain berpolitik secara seni yang akhir mengaut untung untuk dibahagi sesama mereka. Sementara kita bertarung bermati-matian sesama sendiri sekalipun sehingga tergadai negeri dan kota. Kedengkian sesama sendiri, melebihi cemburu kita kepada ‘orang lain’.

Ada pula yang diberi amanah, negara dijadikan modal untuk kocek sendiri, anak menantu dan juga segala macam kroni. Sementara yang hendak membaiki, ada pula yang sanggup menanggalkan prinsip perjuangan kerana melihat ‘kerusi idaman’.

Begitulah kita seadanya. Silap hari bulan, ‘yang dikejar tidak dapat, yang dikendung berciciran’. Mungkin kita mempunyai kejayaan menjadi bangsa yang memliki ‘penagih dadah yang teramai’, ‘pengidap HIV AIDS yang terbanyak, berjaya memenuhi semua jawatan mat rempit dan mat lepak dan segala macam kedudukan yang bangsa lain dalam negara ini kosongkan agar dapat kita penuhi tanpa persaingan. Itulah realitinya, suka atau tidak!

Kalau muncul sesiapa yang kononnya pejuang bangsa, kita pun tidak pasti, adakah dia ikhlas, atau untuk merebut kerusi pilhanraya? Sebabnya, yang bercakap tentang kepentingan bangsa itulah juga yang melonggokkan keseronokan kepada anak muda melayu sehingga mereka hanyut dan menjadi pemuja orang politik yang telah memberi kebebasan yang ‘seronok giler’ kepada mereka.

Mereka juga kadang-kala yang menindas sesama bangsa kerana kepentingan kocek sendiri, kemudian apabila datang muncul berkempen mereka berlagak menjadi pejuang bangsa, bahkan agama. Siapa yang menjadi “ali baba?”, ”siapa yang menjual tanah melayu?” siapa yang mendiskriminasi sesama melayu? Sebahagiannya, mereka inilah.

Sementara melayu yang menggunakan nama Islam pula, ada yang hanya menjadikannya modal kempen. Hari ini prinsip-prinsipnya pun sudah mula luntur. Dulu ada yang bukan main ekstrim sehingga saya pun diserang dan dituduh longgar. Hari ini ada di kalangan penceramah yang sedemikian yang kelihatan bukan sahaja longgar, tapi mungkin boleh terlondeh. Ada juga di kalangan semua itu yang benar-benar jujur, saya tidak nafikan.

Saya katakan; masa depan orang melayu tidak akan dapat dijamin oleh semua slogan dan kempen-kempen bermusim ini. Penyelesaian yang sebenar adalah semua pihak di kalangan umat Islam tanpa mengira bangsa di negara ini hendaklah kembali kepada prinsip-prinsip Islam dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Penafsiran terhadap Islam ini hendaklah bebas dari kepentingan kerusi, parti, bangsa, puak, mazhab, aliran dan segalanya. Hanya Islam yang tulen, seperti mana hari ia diturunkan oleh Allah. Itulah penyelamat arab zaman dahulu, dan itulah penyelamat melayu!

Bukan Islam ala melayu yang mewajibkan Marwan bin Ah Seng mengubah nama bapa kerana bapanya cina dan Ah Seng bukan nama arab. Tetapi dapat pula menerima Marwan bin Awang, kerana Awang bangsa melayu sekalipun Awang bukan nama arab.

Bukan yang sibuk dengan orang lain hendak menggunakan nama Allah –pada hal Allah mengizinkan-, tetapi tidak pula sibuk membaiki penerangan akidah.

Bukan yang hanya meletakkan nama Islam untuk politik, tetapi gagal mengislamkan lidah ketika berkempen politik.

Bukan hanya yang menggunakan nama Islam untuk mengutip zakat, tetapi melupai amanah Islam dalam membahagikan zakat.

Begitulah seterusnya. Islam tulen, seperti zaman salaf dalam akidah dan ibadah, dan melihat keluasan agama dalam urusan umum kehidupan. Islam yang akan menjadikan kita umat dakwah dan pembawa risalah keagungan agama, bukan yang hanya memikir pembinaan bangunan tetapi membiarkan keruntuhan akidah dan akhlak.

Seperti kata al-Nadwi yang selalu saya ulangi: “Hendaklah orang Arab ketahui bahawa mereka tidak memasuki (pentas) sejarah kecuali dengan jalan risalah Islam dan dakwah islamiyyah. Allah tidak menumbuhkan kecintaan (orang lain) kepada mereka dalam jiwa dan hati, tidak tersebar bahasa mereka dengan sebegini luas, ia tidak kekal dan abadi, tidak ditulis dengannya ilmu yang banyak, tidak terbentuk dengannya perpustakaan yang begitu besar yang mana ulama bukan Arab mendapat habuannya lebih dari orang Arab sendiri, kecuali dengan sebab kelebihan al-Quran dan syariat Islam. Orang Arab tidak akan kembali kepada kedudukan mereka yang awal dan tidak akan memasuki (pentas) sejarah sekali lagi melainkan melalui pintu yang mereka masuk pada awalnya”. (Al-Nadwi, Kaif Dakhal al-‘Arab al-Tarikh, m.s 26, cetakan: Al-Majma’ al-Islami al-‘Ilmi, Lacknow, India).

Seperti orang arab pada hari ini menjadi lemah dan hina kerana meninggalkan Islam tulen, demikian nasib kita akhirnya jika tidak kembali kepada sumber agung Islam; al-Quran dan al-Sunnah.