Masyarakat Berkomunikasi dan Berinformasi (K-Keluarga)
Salah satu aktiviti asas manusia adalah berkomunikasi. Anak yang baru lahir akan menangis untuk menyampaikan mesej bahawa beliau hidup. Dan kemudian akan menangis lagi kerana basah, lapar atau tidak selesa. Apabila telah dewasa anak-anak ini akan bercakap untuk berkomunikasi dengan lebih khusus tentang apa yang dimaksudkan.
Pada peringkat dunia pula, manusia telah berkomunikasi sejak dahulu lagi. Di samping bercakap secara bersemuka, pelbagai bentuk komunikasi telah dicipta untuk menyampaikan mesej pada jarak jauh. Sebagai contoh, beduk telah digunakan untuk mengingati orang ramai tentang masuknya waktu solat. Orang-orang Indian di Amerika Syarikat telah menggunakan kepulan asap untuk berkomunikasi dengan pihak lain.Burung juga telah digunakan untuk menghantar mesej ke pihak yang berjauhan.
Keperluan untuk berkomunikasi pada jarak jauh secara berkesan dan pantas serta keperluan untuk menyebar serta mendapat maklumat dengan pantas dan banyak telah menyebabkan banyak kajian dilakukan olleh pakar-pakar dan orang perseorangan. Hasil dari penyelidikan-penyelidikan ini adalah media dan teknologi komunikasi seperti telefon, radio, televisyen, mesin cetak, komputer dan bermacam-macam lagi.
Pada asasnya teknologi komunikasi membawa maksud kaedah atau cara dan peralatan yang membuatkan proses atau aktiviti komunikasi itu lebih cepat, cekap, mudah dan berkesan. Ia juga memberi gambaran bahawa maklumat, mesej atau ilmu pengetahuan yang banyak dan pelbagai dapat disampaikan atau diterima dari sumber kepada penerima di lokasi yang berbeza secara mudah, pantas dan cekap.
Sementara itu, konsep teknologi maklumat merujuk kepada kaedah, peralatan dan perisian yang digunakan dalam kegiatan menjana, mengumpul, memproses, mengurus, menyebar dan menyimpan maklumat.
Komputer sering dikaitkan dengan teknologi maklumat kerana ia mampu untuk melaksanakan semua aktiviti yang dinyatakan tadi. Oleh kerana media komunikasi, teknologi komunikasi dan teknologi maklumat dalam banyak hal merujuk kepada benda yang sama dan membawa serta mengandungi “benda” yang sama iaitu maklumat, mesej atau ilmu pengetahuan, maka istilah ICT telah diperkenalkan.
Istilah ICT ini digunakan untuk memastikan bahawa segala media komunikasi, teknologi komunikasi dan teknologi maklumat terkandung di dalamnya. Sehubungan dengan ini, pada tahap makro, ICT merangkumi komputer, telefon, televisyen, akhbar, set ho-fi, Internet, telefon selular VCR, DVD dan lain-lain lagi. Pada tahap mikro, kita masi lagi boleh menyatakan bahawa radio adalah media komunikasi, komputer adalah teknologi maklumat dan telefon selular adalah contoh teknologi maklumat.
Penciptaan dan perkembangan ICT banyak bergantung kepada kemajuan masyarakat itu sendiri. Kemajuan sesebuah masyarakat itu boleh dilihat melalui perubahan dari masyarakat petani ke masyarakat perindustrian dan seterusnya ke masyarakat informasi atau masyarakat maklumat. Masyarakat informasi terbentuk apabila sebilangan besar tenaga buruhnya terdiri daripada pekerja informasi dan informasi itu sendiri adalah unsur penting.
Secara amnya, “Pekerja informasi adalah individu-individu yang kegiatan utamanya adalah mengeluar, memproses dan mengedar informasi serta mengeluarkan teknologi informasi. Contoh-contoh pekerjaan pekerja informasi ialah guru, saintis, wartawan akhbar, perancang komputer, perunding, setiausaha dan pengurus”
Untuk melahirkan masyarakat informasi, ia kena bermula dengan keluarga informasi kerana keluarga adalah unit asas masyarakat. Oleh yang demikian, untuk melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan (k-masyarakat), maka anggota masyarakat yang terdiri daripada ahli keluarga hendaklah terlebih dahulu menjadi keluarga berilmu pengetahuan (k-keluarga).
K-keluarga boleh dikatakan sebagai sebuah keluarga dan dapat menjana ilmu pengetahuan, menggunakan ilmu pengetahuan dalam sebahagian besar (kalau tidak semua) kegiatan harian, memproses ilmu pengetahuan, berkongsi ilmu pengetahuan dengan individu atau keluarga lain dan menyebarkan ilmu pengetahuan yang mereka ada atau perolehi untuk pengetahuan serta kegunaan awam.
Oleh yang demikian, setiap anggota keluarga yang menuju ke tahap k-keluarga hendaklah mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk menggunakan ICT bagi memudahkan proses penjanaan, pemprosesan, penggunaan, perkongsian dan penyebaran ilmu pengetahuan.
Insya-Allah, setiap keluarga mampu untuk mencapai tahap K-Keluarga ini sekiranya keluarga merancang masa depan anak-anak dengan baik dan bersedia untuk berani mempelajari ilmu baru selaras dengan perkembangan semasa. Supaya generasi kita tidak ketinggalan di dunia yang semakin mencabar ini.
