Bandar Meruraya : Satu Komuniti Bistari

25 03 2008

Pengenalan Komuniti

Pembentukan satu komuniti merupakan satu usaha komplek dan unik. Usaha untuk mewujud dan membentuk komuniti telah lama dilaksanakan di negara kita Malaysia.

Di ‘zaman darurat’ dahulu, komuniti baru diwujudkan hasil pemindahan yang dilakukan terhadap mereka yang tinggal di kawasan-kawasan yang sering menjadi sasaran pengganas komunis. Oleh yang demikian, pewujudan komuniti baru ini adalah atas sebab-sebab keselamatan.

Apabila FELDA (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) membuka rancangan-rancangan penempatannya, ini pula merupakan satu lagi proses pembentukan komuniti-komuniti baru yang berasaskan sebab-sebab sosio-ekonomi dalam usaha meningkatkan taraf hidup para penghuninya.

Kemudian apabila taman-taman perumahan bercambah dengan banyaknya, komuniti-komuniti baru telah juga diwujudkan di kawasan-kawasan ini.

Dengan lain-lain perkataan, komuniti-komuniti baru ini diwujudkan atas sebab-sebab keselamatan, ekonomi dan jalinan muhibbah kemasyarakatan.

Komuniti Malaysia

Komuniti Malaysia adalah satu masyarakat majmuk iaitu yang mengandungi komponen-komponen berbagai kaum di dalamnya. Tiap kaum itu pula mempunyai sifat, budaya, corak pemikiran, kefahaman dan aspirasinya yang tersendiri. Keunikan corak komuniti Malaysia inilah dengan sendirinya membawa satu cabaran kepada usaha membentuk satu komuniti baru yang mengharmonikan diantara tuntutan berlainan bangsa. Hingga kini proses integrasi di antara berbagai kaum ini berjalan dengan baik walaupun mengambil masa.

merumap.jpg

Bandar Meruraya, Ipoh Perak Darul Ridzuan

Bandar MERURAYA dijangka akan dapat membina satu komuniti moden yang sesuai dan serasi dengan senario ekonomi, politik dan sosial semasa sebagai usaha untuk merealisasikan unsur-unsur yang termaktub di dalam Wawasan 2020. Selaras dengan aspirasi kerajaan negeri Perak ke arah ‘K-Economy’ menjelang 2015. Hasilnya kawasan Bandar Meruraya ini telah di iktiraf oleh kerajaan Malaysia sebagai MSC Cyber Centre pada tahun 2006.

Matlamat murninya adalah mewujudkan satu set masyarakat yang serba lengkap, mantap, prihatin kepada perubahan dan pemodenan, bersifat penyayang, berwibawa dan berpengetahuan, berteknologi tinggi sambil mengekalkan sifat-sifat mulia seni budayanya.

644_main8.jpg

Harapan Warga Meruraya

Harapan kita sebagai warga adalah Bandar Meruraya ini dapat menjadi sebuah komuniti di mana masyarakat yang mendiaminya adalah masyarakat yang progresif, berdaya cipta dan berpandangan jauh. Ianya bukan sahaja dapat memanfaatkan teknologi masa kini tetapi turut menjadi penyumbang kepada kemajuan peradaban masa hadapan. Dari “Tin Mine Economy” kepada “MIND Economy”.

Oleh itu, adalah menjadi harapan bersama agar setiap warga Bandar Meruraya memasang niat di hati untuk bersama-sama mewujudkan satu komuniti Malaysia, Melayu baru, moden, bermaklumat, berteknologi tinggi, mempunyai norma-norma, sifat dan akhlak tinggi yang terpuji selaras dengan keperluan semasa.

Kita tidak boleh lalai dan leka dengan konsep ketuanan Melayu yang sering dilaungkan semata-mata, sedangkan perubahan yang sepatutnya di tuntut untuk diperjuangkan dalam membela nasib bangsa diabaikan dan dibiarkan begitu sahaja.


Actions

Information

One response

25 03 2008
pompetos

Semoga Memberi Manfaat.

Leave a comment